Laman Utama

“Respon Sangat Menakjubkan!” - Amanda Tak Sangka Menang! Filem Anak Malaysia Tiger Stripes Cipta Sejarah Di Cannes

gempak
Mya Amri
15/06/2023
13:46 MYT
Sponsor Banner
“Respon Sangat Menakjubkan!” - Amanda Tak Sangka Menang! Filem Anak Malaysia Tiger Stripes Cipta Sejarah Di Cannes
Pengarah, Amanda Nell Eu terharu kerana filem Tiger Stripes berjaya merangkul anugerah utama pada Minggu Kritik Festival Filem Cannes bagi edisi ke 62.
Malah Tiger Stripes juga telah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi filem arahan anak Malaysia pertama merangkul anugerah utama di festival itu.
“Saya sungguh terharu kerana respon yang diberikan sangat positif sehingga ada yang berkata-kata mengenai filem ini di sana.
“Sebenarnya filem ini ditayangkan agak awal di festival itu, namun selepas tayangan pun mereka masih memperkatakan tentang naskhah ini.
“Kami tidak sangka akan menang sebenarnya. Bagi kami, sudah cukup gembira dapat membawa nama Malaysia ke Cannes.
“Secara jujurnya kami sendiri terkejut. Kami berbesar hati kerana orang luar juga menghargai karya kami,” katanya ketika ditemui Gempak pada Rabu.
Dalam pada itu, penerbit Tiger Stripes iaitu Foo Fei Ling berkata pada mulanya dia berasa agak gementar terhadap penerimaan filem tersebut di Cannes.
Namun dia akhirnya menarik nafas lega apabila mendapat respon positif selepas penayangan filem tersebut di sana.
“Respon di Cannes sangat menakjubkan! Saya terkejut kerana kami sebenarnya tidak tahu apa yang mereka akan fikirkan tentang karya ini namun ternyata mereka menyukainya.
“Saya rasakan karya kali ini agak berbeza dengan penglibatan naskhah lain yang pernah saya lakukan sebelum ini,” ujarnya.
Filem debut oleh Amanda ini menampilkan beberapa pelakon baharu seperti Zafreen Zairizal dan Deena Ezral, serta veteran seperti Fatimah Abu Bakar dan Shaheizy Sam.
Diterbitkan oleh syarikat penerbitan Ghost Grrrl Pictures yang diasaskan oleh Amanda, Tiger Stripes mengisahkan tentang seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang mengalami tekanan dan perubahan drastik sewaktu mencapai usia akil baligh.
Untuk info, menerusi kemenangan Tiger Stripes, Amanda telah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM49,602.
Tiger Stripes adalah filem keempat Malaysia yang bertanding untuk Minggu Kritik Antarabangsa Cannes sejak 2010.
Hanya tiga filem arahan anak tempatan pernah dipilih untuk Festival Cannes, iaitu Kaki Bakar arahan U-Wei Saari (1995), Karaoke oleh Chris Chong Chan Fui (2009) dan The Tiger Factory oleh Woo Ming Jin (2010).
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live