Jika sebelum ini tidak ramai yang teruja tentang kewujudan filem ini, namun semua itu berubah 360 darjah apabila 1917 dinobatkan sebagai filem terbaik di Golden Globes 2020.

Pada yang tidak tahu filem ini diarahkan oleh Sam Mendes iaitu pengarah sama yang menghasilkan Skyfall pada tahun 2012.

Namun persoalannya, adakah filem ini benar-benar layak digelar sebagai filem terbaik?

Adakah ia mampu 'dihadam' oleh kebanyakan penonton yang terbiasa dengan filem berkonsepkan arus perdana?

Ini antara ulasan Gempak!

#1 Filem Perang Tapi Jalan Cerita Amat Mudah!


Kisah filem 1917 berlaku pada kemuncak perang dunia pertama yang mana dua askar British Schofield (George MacKay) dan Blake (Charles Chapman) diberi tugasan untuk melaksanakan satu misi.

Dengan masa yang semakin suntuk, mereka dikehendaki menyeberangi kawasan Jerman untuk memberi mesej kepada askar British yang lain supaya menghentikan serangan terhadap musuh.

Mudah bukan? Jalan ceritanya sangat 'straight foward' dan tidak memerlukan daya pemikiran yang tinggi untuk 'menghadam' plot ceritanya.

Namun, pengarah telah membuktikan meskipun jalan cerita dan plot agak mudah, 1917 mampu dijadikan satu naskah filem yang mampu memberi impak besar. Malah diangkat sebagai karya yang hebat!

#2 Teknik One Shot & Cinematografi Yang 'Mahal'


Jika ditanya apakah faktor utama filem ini berjaya memenangi filem terbaik di Golden Globes 2020, mungkin inilah jawapannya.

Terus terang, sinematografi filem ini sangat cantik.

Ditambah pula teknik 'one shot' yang digunakan berjaya membuai penonton dengan pengembaraan filem ini.

Difahamkan, filem ini tidaklah diambil secara satu 'shot' untuk sepanjang filem, namun ia masih satu 'shot' yang panjang. Hasilnya? Sangat mengagumkan!

Antara yang menjadi kesukaan penulis adalah ketika dua watak ini menyeberangi sebuah lopak besar. Sinematografinya sangatlah wow!

Selain itu babak ketika menyeberangi jambatan yang telah runtuh juga cantik. Pengarah biarkan kamera mengikut setiap langkah askar.


#3 Perkembangan Watak & Permainan Emosi Yang Memberi Impak


Satu lagi elemen yang boleh dipuji mengenai 1917 ini adalah lakonan hebat pelakonnya.

Paling menarik apabila watak Schofield yang pada awalnya tidak menyerlah kemudian diperkembangkan menjadi satu watak penting dalam filem ini.

Tidak cukup dengan itu, filem ini turut meninggalkan impak emosi yang sangat kuat.

Mengangkat tema persahabatan antara dua askar, filem ini mampu membuatkan air mata penonton bergelinangan. Sediakan tisu ya!

#4 Skor Muzik & Set Pengambaran


Antara elemen lain yang membuatkan filem ini begitu hebat adalah skor muzik dan set penggambaran yang dihasilkan.

Skor muzik pada 1917 banyak membantu menghidupkan lagi keterujaan penonton untuk menonton filem ini.

Muzik yang digunakan berjaya membuatkan 'adrenaline' penonton memuncak naik, sekali gus menjadikan beberapa babak kelihatan mendebarkan.

Selain itu disebabkan ia filem tentera, set penggambaran atau props 1917 dihasilkan dalam skala yang sangat besar dan penuh teliti.

Daripada pakaian uniform tentera hinggalah laluan kubu perang, semuanya realistik!

Gabungan dua elemen penting ini sekali gus berjaya membawa penonton merasa pengalaman berada di medan perang.

#5 Adakah 1917 Cukup Sempurna?


Biarpun memenangi anugerah tertinggi dalam Golden Globes, setiap filem tidak lari daripada kekurangan.

Namun bagi 1917, kekurangan itu tidaklah satu masalah buat sesetengah penonton.

Secara dasarnya, ada beberapa babak dalam filem ini yang terasa sedikit meleret. Babak sebegini berisiko tinggi untuk menyebabkan penonton terlena di panggung wayang.

Selain itu, kemunculan nama besar seperti Benedict Cumberbatch dan Colin Firth hanyalah sepintas lalu dan tidak memberi impak yang besar.

Lebih kepada cameo semata-mata.

Apapun, 1917 telah memberi satu pandangan berbeza untuk sesebuah filem perang.

Rating Gempak: 4/5