Warganet menyelar pelakon Riena Diana yang merungut tentang harga seekor sotong yang dibelinya di bazar Ramadan baru-baru ini.

Riena menerusi hantaran di Insta Story akui terkejut dengan harga RM2 yang diletakkan pada lauk sotong yang bersaiz kecil.

Dalam hantaran sama, Riena turut menyarankan orang ramai agar pengguna membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), sekiranya berhadapan situasi sama.

Difahamkan, Riena memuat naik hantaran tersebut selepas tular beberapa isu melibatkan pengguna yang terasa dianiaya peniaga bazar ramadan.

[[BACA: Peniaga Bazar Ramadan Jual Ayam Goreng Tak Buang Isi Perut, Kuku Cetus Amarah Netizen]]

Sementara itu tinjauan Gempak di ruangan komen Facebook sebuah portal berita mendapati, kenyataan Riena Diana mengenai harga sotong RM2 itu diselar warganet.

Rata-rata yang meninggalkan komen berpendapat, harga tersebut berpatutan dengan kenaikan harga barang sekarang.

“Kena rajin pergi pasar,baru anda tahu realiti harga barang...”

“Ok lah..sotong memang mahal.. Lagilah kalau. saiz besar...”

“Murah la sekor RM2...Sotong sebelum masak pun se-kilogram berapa dah..Mahal sungguh..Kalau RM2 sekor baik beli ja, lima ekor cukup la untuk satu family kecil ku..Risau, kalau lima ekor RM50 ke, terkejutlah juga…” antara komen ditinggalkan wargamaya.

Ada juga komen sinis yang meminta Riena supaya turun ke laut dan menangkap sotong sendiri jika mahu harga yang lebih murah.

“Nak murah pergi laut tangkap sendiri...keluar 5 pagi balik lepas 3 atau 4 jam belum tentu ada hasil, modal minyak lagi, gelora laut lagi pun kena ambil kira juga...”, tulis seorang netizen.