Kecoh di media sosial sejak beberapa hari lalu apabila ada peminat penyanyi bersuara lunak Aina Abdul merungut yang harga tiket konsert A Night With Aina Abdul 2.0 dikatakan agak mahal.

Ada diantara mereka beranggapan dengan harga sedemikian rupa, ramai peminat khususnya golongan B40 tidak mampu menyaksikan konsert mega berkenaan.

Malah, ada yang membandingkan harga tiket itu dengan konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Misha Omar dan juga Ella.

Tampil memperjelaskan kekeliruan dan sebab utama situasi itu berlaku, Aina memberitahu dia tidak sesekali ‘bermain’ dalam mengadakan persembahan.

“Apa yang Aina boleh katakan, Aina sedia untuk menjanjikan yang terbaik.

“Mereka yang hadir di persembahan Aina sebelum ini atau showcase 1.0 tahun lalu mesti tahu yang Aina tak main-main dalam mengadakan persembahan, Aina berikan 300%.

“Sebagai seorang penyanyi yang menguruskan karier seni sendiri, menjadi impian besar Aina untuk mengadakan konsert di lokasi berprestij seperti Istana Budaya dan apabila ia menjadi kenyataan, Aina tidak menoleh ke belakang.

“Aina bakal lengkapkan konsert dengan barisan pemuzik profesional. Komposer dan penerbit muzik tersohor, Mac Chew dan Jenny Chin bakal memimpin konsert Aina disamping nama-nama besar lain seperti Jamie Wilson, Wan Gigi, Andy Peterson, John Thomas, Pa'ang, Jae Sern dan ramai lagi.

“Aina juga bakal membuat persembahan dengan 15 strings, 5 horn section dan 7 pieces band serta sistem audio terbaik. Busana, solekan, penata gaya, stage design, LED.. Semuanya Aina berikan yang terbaik,” katanya.

A post shared by AINA ABDUL (@ainaabdul)

Jelasnya, dia bersyukur apabila tiket untuk kedua-dua malam konsert A Night With Aina Abdul 2.0 Live at Istana Budaya yang bakal berlangsung pada 25 dan 26 Jun sudah 80% terjual.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua peminat yang menyokong Aina.

“Biarpun berhadapan dengan cabaran seperti SOP penjarakan sosial di konsert yang hanya boleh memuatkan 75% kapasiti penonton sahaja serta masih belum dapat bertemu dengan mana-mana penaja, Aina ambil risiko besar untuk merealisasikan cita-cita Aina.

“Risiko yang sama Aina ambil ketika menggunakan duit poket sendiri untuk menerbitkan Sumpah dan Alhamdulillah, Allah permudahkan.

“The rest is history. Jika Aina hanya berharap dan bermimpi tanpa ada sebarang tindakan dan takut untuk mengambil risiko, Aina akan tetap kekal berada di tempat yang sama.

“Aina memahami situasi sesetengah peminat yang meluahkan kerisauan, tetapi Aina memohon agar semua dapat memahami situasi Aina.

“Insya-Allah, more to come. Selepas selesai konsert di Istana Budaya, mungkin pada hujung tahun atau tahun depan, Aina boleh mengadakan konsert lain untuk semua yang menanti, Insya-Allah. Doakan Aina ya,” katanya kepada Gempak.

Sekadar info, menerusi laman web jualan tiket itu, harga ditawarkan serendah RM 113.36 (Reminiscing Blue Zone) hingga RM1246.96 (Sumpah Gold Seat).

Anda boleh lihat senarai harga tiket mengikut jenis kedudukan di sini.

BACA: “Kalah Siti & Dayang, B40 Tak Mampu” - Ramai Merungut Konsert Aina Abdul Mahal? Tapi Banyak Dah Sold Out, How?