Dramatis Rita Rudaini berkongsi kesedihan atas pemergian pelakon veteran tanah air yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Ramli Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Limra pada 5 Oktober lalu.

Menjuarai minggu keempat program All Stars Buka Panggung (ASBP) yang berlangsung dua minggu lepas, Rita memenangi RM4,000 berserta trofi dan wang tersebut telah disumbangkan kepada Pak Limra yang berada di Pusat Jagaan Mahmudah Warga-Warga Tua di Semenyih, Selangor.

Salam maghrib....moga PAK LIMRA tenang di sana....pagi td sy mendapat berita sedih...Pak Limra dah tiada mlm smlm....mggu lepas sy berkesempatan berjumpa dia skali lg dlm #allstarsbukapanggung ...sy pon xsangka akan berjumpa Pak Limra lg masa tu...teringat kali pertama sy berjumpa dgn dia...hajat dia nak bertemu dgn kwn lama seniman AR BADUL...hajat tu sy sampai kan pd seorg director utk temukan dia dgn AR Badul..alhamdulillah dorg dpt bertemu....tertunai jugak hajat Pak Limra,kami @ritarudainifansclub gembira mendengarnya......kami doa kn Pak Limra di tempatkan bersama org2 yg beriman...ALFATIHAH

A post shared by RITARUDAINI® (@ritrud727) on


"Moga Pak Limra tenang di sana... Pagi tadi saya mendapat berita sedih... Pak Limra dah tiada malam semalam... Minggu lepas saya berkesempatan berjumpa dia sekali lagi dalam #AllStarsBukaPanggung. Saya pun tak sangka akan berjumpa Pak Limra lagi masa tu," tulis Rita.

Pelakon drama bersiri Sehangat Asmara itu berkongsi rasa di salah sebuah entri di laman Instagramnya beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, ibu tunggal kepada dua orang cahaya mata ini bersyukur kerana dapat menunaikan hajat Allahyarham Pak Limra yang meninggal dunia akibat sakit tua.

"Teringat kali pertama saya berjumpa dengan dia... Hajat dia nak bertemu dengan kawan lama seniman AR Badul... Hajat tu saya sampaikan pada seorang director untuk temukan dia dengan AR Badul.. Alhamdulillah mereka dapat bertemu.

"Tertunai juga hajat Pak Limra, kami @ritarudainifansclub gembira mendengarnya... Kami doakan Pak Limra ditempatkan bersama orang-orang yang beriman... Al-Fatihah," tulis Rita lagi.

Dalam pada itu, Rita bakal berentap bersama pemenang ASBP untuk episod-episod lain iaitu Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Zulhuzaimy dan Noorkhiriah pada pusingan separuh akhir pada Jumaat ini.

Pusingan akhir pula akan berlangsung pada minggu ketujuh ASBP.

ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.

Program ini menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.

Primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira pula menggalas tugas sebagai Seri Dewi Panggung.

ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Program ini bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, pukul 9 malam secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam.