Lanyard syarikat minyak terkenal Malaysia Petronas mula dijual secara berleluasa di platform e-dagang Shopee telah mencuit hati wargamaya.

Menerusi laman sosial Twitter, seorang pengguna @nabilfikran10 berkongsi foto maklumat penjualan lanyard syarikat eksklusif itu di Shopee.“Hanya RM79 sahaja. Kini semua rakyat Malaysia boleh jadi pekerja Petronas,” tulis pengguna itu menerusi satu kicauan.

Bukan sahaja lanyard yang boleh didapati pada harga RM10 sahaja, coverall yang sering dipakai oleh pekerja pelantar minyak turut dijual dengan harga RM69.

Malah, menerusi satu akaun peniaga yang menjual lanyard tersebut, mereka turut mengusik kakitangan Petronas yang didakwa sering berbangga menayang lanyard ketika bersiar-siar di dalam pusat membeli-belah Suria KLCC.



“Sesuai di pakai di dalam LRT, MRT ketika pergi dan balik dari pejabat dan sesuai juga dipakai di Suria KLCC selepas waktu kerja,” tulis pengendali akaun terbabit.

Hasil tinjauan Gempak di Twitter, ramai wargamaya yang terhibur dengan penjualan tersebut.

“Kalau nak pergi lunch rumah bakal mak mentua boleh la pakai benda ni. Confirm setuju,” kata seorang wargamaya.

“Trylah pakai baju coverall ni pegi makan dekat kedai-kedai area Kemaman. Tengok kena ketuk tak harga,” kata seorang wargamaya.

“Tak semua orang Petronas berlagak dia kerja Petronas. Macam aku kerja Petronas, lepas habis kerja aku bukak overall dengan lanyard Petronas, sebab aku tak nak orang tahu yang aku kerja Petronas,” luah seorang wargamaya.

“Hahahahahahaha siapa yang acah-acah nak boyfriend kerja Petronas boleh lah beli ni,” ujar seorang wargamaya.

“Apa benda yang panas hati sangat entah dengan orang kerja Petronas pun aku tak tahu la. Sampai orang pakai lanyard pegi mall pun bising. Dah Suria tu bawah ofis je kot,” tulis seorang wargamaya lagi.

Selain Petronas, antara lanyard syarikat korporat popular yang turut dijual adalah Malaysia Airlines dan AirAsia.