Penyanyi Rohana Jalil, 68, dikhabarkan sedang kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak semalam.

Mengesahkan berita duka itu kepada BH Online, rakan baiknya, Datin Salwa Abdul Rahman berkata dia dimaklumkan Rohana secara tiba-tiba tidak dapat berdiri ketika membuat persembahan di Plaza Shah Alam baru-baru ini.

Menurutnya lagi, doktor masih melakukan pemeriksaan dan pemantauan mengenai penyakit dihidapinya memandangkan Rohana tidak pernah alami penyakit serius sebelum ini.

“Jaafar Onn ada menunjukkan gambarnya bersama Rohana ketika mengadakan persembahan di Plaza Shah Alam pada Ahad lalu. Bagaimanapun, Jaafar beritahu ketika sedang menyanyi, Rohana tidak boleh berdiri secara tiba-tiba.

“Rohana nak duduk dan terus berada dalam keadaan lemah. Saya memang terkejut kerana mengenalinya, Rohana seorang yang aktif dan jarang sakit.

“Semalam (Selasa), saya mendapat khabar keadaan Rohana kritikal dalam ICU dengan penyakit yang belum diketahui,” katanya.

Salwa berkata, dia diberitahu Rohana dikejarkan ke hospital, kelmarin, namun, anak-anaknya masih merahsiakan daripada pengetahuan sesiapa.

"Bagaimanapun, bila keadaan Rohana semakin kritikal, anak-anaknya mula berkongsi perkembangan kesihatan Rohana dan minta mendoakan kesembuhan.

"Pelawat tidak dibenarkan melawat Rohana, buat masa ini. Ini kerana Rohana masih dalam ICU dan bernafas menggunakan bantuan oksigen.

"Saya dengar Rohana sudah ada tindak balas sedikit, namun keadaannya masih lemah dan dalam pemantauan, semalam," katanya.

Mengulas fizikal Rohana yang semakin kurus, Salwa berkata, dia tidak mengetahui jika Rohana mempunyai penyakit, memandangkan aktif dan sentiasa cergas.

"Beberapa bulan lalu, saya dan Rohana berada di Brunei hampir sebulan. Saya tidak nampak Rohana alami apa-apa sakit sepanjang di sana.

“Saya percaya Rohana mengawal pemakanan demi menjaga kesihatan. Saya tidak bertanya kerana melihatnya sentiasa sihat dan cerdas, cuma fizikal kurus.

"Jadi, saya mohon kita sama-sama mendoakan Rohana kembali sembuh. Saya berhasrat melawat Rohana, cuma menunggu maklum balas anak-anaknya," katanya.

Sumber - Berita Harian