Rosyam Nor Kongsi Tradisi Raya Bersama Adik-Beradik - “Kita Kutuk Sampai Terkedu”
Pelakon lagenda, Datuk Rosyam Nor berkongsi antara momen yang paling ditunggu-tunggu setiap kali raya adalah sesi ‘membahan’ bersama adik-beradiknya.
Kongsi Rosyam, aktiviti tersebut merupakan perkara wajib yang mereka lakukan ketika berkumpul.
Hal ini kerana, mereka gemar untuk bergurau sesama sendiri dan mengimbas kembali kenangan lama.
“Sejak kecil, kami adik-beradik memang suka kutuk-mengutuk sesama sendiri. Bila dah besar, aktiviti tu masih diteruskan. Bila berkumpul je, masing-masing akan ‘bahan’ untuk tengok siapa yang akan terkedu dulu! So far, alhamdulillah, semuanya okay je,” katanya kepada Gempak.
Datuk Rosyam Nor berkata demikian ketika menghadiri sidang media dan tayangan perdana program Raya Astro yang berlangsung di One World Hotel, Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Tambah aktor itu lagi, kebanyakan kutukan yang dilemparkan lebih kepada mengimbau kisah silam, di mana masing-masing pernah ‘buat hal’ waktu kecil dulu.
Namun, di sebalik semua itu, perjumpaan bersama adik-beradik tetap menjadi momen paling dinantikan kerana mereka jarang dapat berjumpa sepanjang tahun.
“Walaupun kami adik-beradik, tapi jarang dapat berkumpul. Anak-anak saya pun bukan selalu jumpa sepupu mereka. Jadi, Aidilfitri ni lah masa untuk eratkan kembali hubungan.
“Momen paling priceless adalah bila kita dapat dengar gelak tawa semua orang. Setahun dua kali je dapat nikmati kemeriahan macam ni,” kongsinya.