Dibawakan oleh RR Brothers Studio, Konsert Sabyan dan Seventeen akan menyapa gabungan penggemar dua kumpulan popular Indonesia ini pada 15 Oktober 2022 bertempat di Axiata Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Datuk Alif Zain yang mewakili RR Brothers Studio berkata, kolaborasi antara Sabyan dan Seventeen ini disifatkan istimewa kerana kekuatan karya yang berunsurkan kerohanian dan alunan muzik yang mendamaikan sesuai dengan pasca sambutan Maulidurasul.

Pasca sambutan Maulidurasul

“Penganjuran Konsert Sabyan dan Seventeen ini kami lihat bertepatan dengan pasca sambutan Maulidurasul.

“Kumpulan Sabyan amat terkenal dengan untaian kerohanian seperti Ya Habibal Qolbi dan Seventeen sendiri biarpun sebuah kumpulan yang berkonsepkan pop namun karya karya mereka menjurus kepada kerohanian juga.

“Jadi kami di RR Brothers Studio menyifatkan ini adalah sebuah kolaborasi yang sangat istimewa dan eksklusif buat peminat.

“Apa lagi kedua dua kumpulan ini belum pernah berada dalam satu pentas untuk menyampaikan karya karya mereka secara langsung kepada peminat di Malaysia,” ujar nya.

Nisa Sabyan teruja

Sementara itu, Sabyan yang diwakili Nissa selaku vokalisnya mengucapkan syukur kerana dapat kembali ke Malaysia untuk melakukan konsert setelah pandemik melanda.

“Kami amat berbesar hati dan teruja kerana dapat kembali menyapa penggemar Sabyan di Malaysia selepas pandemik yang membuat seluruh dunia seperti ‘membeku’.

“Sabyan juga tidak sabar untuk mendendangkan untaian kami termasuk yang terkini berjudul Tiara. Jangan lupa tunggu kehadiran dan persembahan julung kali Sabyan bersama Seventeen,” ujar Nissa

Seventeen anggota baharu

Bagi vokalis Seventeen, Ifan, kesempatan kembali ke Malaysia setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki ke sini dalam sebuah konsert bersama Sabyan disifatkan sebagai kolaborasi yang amat menarik.

Sementelah, kumpulan yang kehilangan hampir semua anggotanya sewaktu bencana Tsunami membadai Tanjung Lesung pada 2018 ini pertama kali bertemu peminat mereka dengan rakan anggota baharu.

“Kami di Seventeen juga amat berbesar hati dengan kolaborasi ini. Pertama kali dilamar untuk Concert Syaban dan Seventeen dan ia juga bersempena pasca Sambutan Maulidurasul, kami melihat tiada sebab untuk menolak,” ujar Ifan.

Tiket konsert

Tiket Konsert Sabyan & Seventeen yang mula dijual pada 10 Oktober bermula pukul 12 tengah hari dengan harga bermula RM98 untuk Zone B (level 4), RM338 untuk Zone A (level 3), RM298 (free standing), RM398 (fan zone (standing), RM498 (VIP zone (standing) dan Star Zone (seated) bernilai RM799 kerana disertakan bersama beberapa barangan istimewa konsert.

Tiket tiket boleh didapati dengan melayari www.myticket.asia atau hubungi talian +603 8605 0195.