Penyerang kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid yang berhijrah secara pinjaman selama semusim bersama kelab utama Liga Premier, Portimonense SC, Portugal akan kembali menyertai rakan sepasukan Harimau Selatan musim depan.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pemain sayap berkenaan akan kembali memperkuatkan pasukan tahun depan.

“Saya rasa Safawi akan kembali menyertai JDT musim depan. Ya, seratus peratus,” jelasnya dalam satu temu bual bersama Astro Arena dalam rancangan Bola@Mamak.

Safawi menyertai Portimonense secara pinjaman pada Oktober lalu namun masih bergelut untuk mendapatkan minit bermain bersama skuad utama.

Setakat ini, Safawi hanya beraksi bersama skuad B-23 tahun dalam saingan Primeira Liga Portugal B-23, dan dia hanya memperoleh minit bermain sebanyak 53 minit.

Pemain kelahiran Terengganu ini disenaraikan dalam skuad perlawanan dalam beberapa perlawanan namun bekas pemain T-Team FC itu hanya sekadar memanaskan bangku simpanan.

Sumber: Cakap Sukan