Penyampai radio Zayan, Tajdid Hadhari berkongsi detik bagaimana dirinya bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang khatib untuk menyampaikan khutbah Jumaat di sebuah surau terletak di Bukit Jalil sejak beberapa minggu lalu.

Kata Hadhari, 34, ia bermula apabila dirinya dicabar oleh rakan penyampai iaitu Hazwan Syah menerusi segmen yang dikendalikan mereka, H&H Petang Zayan.

“Sebenarnya bermula dengan Hazwan, dia beritahu dekat saya suara saya bila bercakap macam tengah beri khutbah. Kemudian dia cabar saya dalam segmen kami untuk baca khutbah dekat surau Al-Faizin, Majlis Sukan Negara (MSN).

“Sebelum ini surau tersebut memang ada mohon untuk saya baca khutbah dekat situ dan ada juga beberapa surau lain tapi saya terpaksa tolak. Sebab saya kerja, on air start jam tiga petang, risau terkejar-kejar.

“Kemudian selang beberapa hari, Hazwan sebut semula berkenaan saya kena baca khutbah dalam segmen kami yang ke udara. Dia siap kata, saya ialah satu-satunya penyampai radio yang menjadi pembaca khutbah.

“Jadi itulah kisahnya saya kini menjadi khatib untuk baca khutbah selepas di cabar Hazwan, saya sahut baik cabaran yang diberikan,” katanya kepada Gempak.

A post shared by ZAYAN (@zayan.my)

Pernah menolak beberapa tawaran menjadi khatib, Hadhari menjelaskan ia bukan satu tugas yang mudah memandangkan banyak aspek termasuk rukun dalam menyampaikan khutbah perlu dititikberatkan.

“Perasaan memang gugup, kali terakhir saya baca khutbah adalah ketika satu kelas agama yang saya sertai di Thailand. Malah di kampung pun, kalau ada pak cik yang minta saya baca khutbah saya tolak, saya kata nak jadi makmum sahaja.

“Bukan takut, sebab saya lebih suka mendengar. Dalam masa sama, itu merupakan satu tanggungjawab yang besar sebenarnya untuk saya pikul.

“Kerana dalam menyampaikan khutbah ada rukun-rukunnya. Pertama ucap Alhamdulillah, kemudian selawat. Buat berwasiat kepada umat manusia untuk bertaqwa. Maka ketika menyampaikannya kena fokus dan teliti.

“Walaupun ada skrip, adakala boleh jadi terlepas pandang. Kalau tak jaga rukun khutbah, tak sah, apabila tidak sah khutbah, confirm ibadah solat Jumaat pun jadi tidak sah.

“Memang satu cabaran besar, kerana lepas baca khutbah saya akan jadi imam pula, maka persediaan memang perlu ada,” tambahnya.

Jangan lupa dengarkan H&H Petang Zayan bersama Hadhari dan Hazwan setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 3 petang hingga 7 malam.

A post shared by Ustazbola⚽ (@tajdid_hadhari)


Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.