Hiburan

"Sambal, Brownies, Roti Paung, Sebut Saja..." - Syafie Naswip

gempak
Badrul Hashim
08/07/2020
08:41 MYT
Sponsor Banner
"Sambal, Brownies, Roti Paung, Sebut Saja..." - Syafie Naswip
Bermula dengan berkongsi masakan di Instagram dengan hashtag #AirTanganSiBujangNilai, pelakon Syafie Naswip mula berjinak-jinak dengan perniagaan makanan.
Tahun lalu dia memulakan perniagaan bersama adiknya Sapawi dengan menjual jeruk buah-buahan yang dipanggil MaBoi. Perniagaannya cukup mendapat sambutan tapi terpaksa dihentikan kerana masalah bekalan.
"Ketika itu memang bergantung kepada bekalan buah-buahan terutamanya mangga muda dan bila musimnya habis, agak sukar untuk mendapat bekalan.
"Walaupun ada juga menggunakan nanas dan lain-lain buah-buahan, tapi mangga yang paling mendapat tempat," kata Syafie mengimbas kembali.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung, semua aktiviti seninya terpaksa dihentikan, biarpun ketika itu dia sudah hampir memulakan penggambaran.
"Bila PKP berlangsung, saya perlu cari jalan untuk memastikan ada pendapatan terutama untuk Mak dan Ayah dan saya fikir memasak adalah sesuatu yang boleh saya lakukan.
"Mendapat resepi tradisi Sambal Belacan Goreng, saya mula cuba untuk berniaga sambal. Saya tak sangka ianya mendapat sambutan yang sungguh baik," kata Syafie yang mengakui sedikit terkejut ketika itu.
Menurut Syafie, Sambal Belacan Goreng dimasak sendiri dan disediakan dari mula sampai akhir untuk memastikan kualitinya sentiasa terjaga.
"Daripada membeli cili, membersihkan, memasak, membotolkan, semuanya dilakukan sendiri bersama adik saya.
"Tak mudah kerana perlu memasak dalam tempoh yang lama, malah botol juga perlu direbus dua kali untuk memastikan kualiti terjamin. Penat, jangan cakaplah, tapi gembira bila hasilnya diterima," kata Syafie lagi.
Tidak berhenti setakat itu sahaja, Syafie juga menambah lagi hasil jualannya dengan menghasilkan brownies dan juga roti paung yang dijual oleh adiknya, Sapawi.
"Kalau tiada tawaran berlakon, saya dan adik saya akan membuat sendiri penghantaran tetapi jika sibuk dengan lakonan, saya ada penghantar yang akan menghantar pesanan.
"Setakat ini saya masih lagi menggunakan media sosial sendiri di Instagram untuk mempromosikan dan menjual, tetapi saya juga ada perancangan masa hadapan," tambah Syafie kepada Gempak.
Selain daripada yang sedia ada, Syafie juga merancang untuk menyediakan juadah istimewa pada hari-hari tertentu seperti Hari Raya dan cuti umum.
"Saya tak tahu nak cakap apa, cuma terima kasih tidak terhingga kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan. Tanpa sokongan sama ada dengan membeli atau dorongan positif daripada semua, mungkin saya tak mampu lakukannya.
Syafie juga memberitahu dia bakal menyediakan juadah istimewa untuk dijual pada Hari Raya Haji nanti tetapi akan diumumkan kelak di Instagram miliknya.
Gambar/Video: Instagram @syafienaswip
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live