Aktor kacak, Syafiq Kyle antara selebriti yang menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur selepas kerajaan memutuskan untuk tidak dibenarkan pulang beraya di kampung.

Kata Syafiq, walaupun tidak boleh pulang ke Kuala Pilah namun raya tetap diraikan mengikut Tatacara Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Biasanya setiap tahun akan balik kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Tapi memandangkan tahun ini kita tak dibenarkan, saya beraya di Kuala Lumpur.

"Rumah keluarga saya tak jauh pun dengan rumah saya. Memang kebanyakan keluarga saya kat sini jadi senang boleh beraya sekali.

"Suasana raya memang berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini. Tapi kita tetap kena sambut raya dengan cara bersederhana," katanya menerusi segmen #ArtisDudukDiam bersama Astro Gempak.

Dalam pada itu, pelakon filem Polis Evo 3 ini turut berkongsi hidangan wajib yang menjadi pilihan di pagi raya.

"Juadah raya yang mesti saya cari di pagi raya adalah nasi impit kuah kacang.

"Ibu saya tak pernah lupa untuk sediakan sebab dia dah tau itu makanan kesukaan saya. Kalau kuih pulak saya akan cari samperit," katanya lagi.