Pelakon prolifik Vanidah Imran meluahkan rasa syukur apabila akhirnya berjaya menggengam ijazah sarjana dalam bidang Seni Persembahan (Drama) Universiti Malaya pada Sabtu.

BACA: "Impian Jadi Nyata" - Vanidah Imrah Kini Jadi Pensyarah

BACA: Vanidah Imran Akui Ada Lelaki Cuba Dekati Tetapi ...

Kata Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 itu, kejayaan yang dicapainya berkat doa keluarga dan dorongan daripada bapanya sendiri.

"Bapa tak pernah jemu dan berhenti meminta saya sambung belajar. Kata-katanya seperti sampai bila nak kerja berlakon balik lewat pagi terus berbekas. Saya bersyukur Tuhan gerakkan hati untuk saya jadi realistik sekali gus sambung belajar.

"Orang selalu kata buat sesuatu harus ambil kira nasihat ibu bapa. Ternyata apa yang bapa saya tekankan selama ini ada keberkatannya. Saya tak pernah menyangka akan dapat tawaran masuk dunia akademik termasuk bergelar pensyarah.

"Itu semua antara hikmah yang dihamparkan apabila saya mula membuat keputusan besar dalam hidup untuk mengutamakan sisi akademik selain mengimbangi kehidupan hakiki. Paling penting bapa yang tidak menentu tahap kesihatannya masih berpeluang menyaksikan kejayaan ini," katanya.

Malah, Vanidah juga akui ralat apabila tidak menyambung pelajaran ketika usia masih muda.

"Apabila belajar di usia melewati angka empat siri dengan tuntutan tanggungjawab serta komitmen sebagai ibu dan anak, ia bukanlah fasa mudah.

"Berbanding masa muda, kita kurang bebanan. Tapi saya terima segala-galanya dengan lapang dada. Menyambung pengajian ketika ada anak kecil dan keluarga itu lebih buat saya jadi kuat.

"Namun sebanyak mana tekanan, tanggungjawab mahupun suntikan motivasi atau nasihat daripada orang lain, pada akhirnya kita yang mengharungi 'battle'. Nak buat terbaik atau sebaliknya terserah kepada diri sendiri," tambahnya.

Namun, Vanidah beruntung diberikan keluarga terutama kedua-dua anaknya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika yang memahami situasinya.

"Anak saya tahu bila ibu mereka perlu lunaskan itu dan ini. Contohnya kalau saya kena mengadap tesis, tarikh akhir serahan tugasan dan sesi virtual. Tambah pula berdepan fasa genting di era pandemik COVID-19.

"Kalau saya tak sempat masak dan sediakan makanan, mereka pandai-pandai buat makan sendiri atau tempah dari luar," ujarnya.

Vanidah, 48, antara penerima ijazah daripada lebih 7,682 pelajar yang menamatkan pengajian pada majlis konvokesyen ke-61, Universiti Malaya berlangsung Sabtu lalu.