Jaguh lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, tidak patah semangat selepas kontroversi ‘call room’ sebaliknya berazam untuk kembali bangkit.

Ziyad menerusi hantaran di laman sosial Instagram (IG), turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan kata-kata semangat buat dirinya.

“Saya akan bangkit kembali, terima kasih kerana memberikan kata-kata semangat,” katanya.

Hantaran tersebut menerima reaksi ‘suka’ lebih daripada 73,000 pengikut dengan 4,680 komen yang meniupkan kata-kata positif buat Ziyad.

Atlet berusia 31 tahun itu dijadualkan tiba ke tanah air hari ini.

A post shared by YAD (@ziyadzolkefli)


Terdahulu, kontroversi timbul apabila pingat emas diraih Ziyad menerusi kategori F20 dibatalkan ekoran isu 'call room'.

Ziyad pada mulanya tidak dapat menerima hakikat dan meluahkan rasa kecewa kepada wartawan Astro Arena, Bazly Azmi.

Menurut laporan Stadium Astro, Ziyad kelu dan hilang kata-kata selepas tamat mesyuarat Chef de Mission (CDM) yang menyaksikan emas miliknya dibatalkan.

Ziyad sepatutnya meraih emas apabila melakukan lontaran 17.94 meter yang juga rekod baru dunia dan kebangsaan.

Namun, pegawai Ukraine melakukan protes dengan mendakwa Ziyad bersama atlet Australia dan Ecuador lewat lapor diri dalam 'call room'.

Protes itu diterima sekali gus menyaksikan atlet Ukraine, Maksim Koval meraih emas.

"Saya tidak berani untuk menjelaskan apa-apa ketika ini. Saya amat sedih dan tidak boleh menerima hakikat," kata Ziyad.

Sementara itu, Chef de Misson (CDM) Paralimpik Tokyo, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, tampil menjelaskan status terkini melibatkan bantahan rasmi kepada Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletic (WPA).

Beliau juga memohon supaya dipertimbangkan semula rayuan agar penyertaan dan catatan Ziyad perlu diiktiraf sebagai penyertaan dan catatan rasmi kejohanan tersebut.

Namun demikian, bantahan itu hanya boleh dilakukan selepas temasya Paralimpik Tokyo 2020 berakhir.