Individu yang tular kerana menghina arwah Adibah Noor akhirnya tampil membuat permohonan maaf.

Permohonan maaf itu dikongsi oleh penyanyi, komposer dan penerbit lagu, Damian Mikhail menerusi akaun Facebook rasmi miliknya hari ini.

“Di sini saya ingin memohon jutaan ampun kepada seluruh anggota keluarga almarhum Adibah Noor khususnya dan kepada semua rakyat Malaysia secara am, di atas komen saya tempoh hari.

“Saya akui perkara ini terjadi di atas kejahilan saya sendiri, dan saya amat kesal dengan kekhilafan saya. Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu pada masa depan, insya-Allah.

“Semoga roh Adibah Noor ditempatkan dalam kalangan para solihin,” tulis individu berkenaan.

Dalam pada itu, seperti yang dijanjikan Damian juga telah menurunkan postingnya sebelum ini selepas pemuda lelaki itu memohon maaf.

“Ok. Dia sudah minta maaf. Jadi saya akan turunkan post saya. Lain kali hendak komen pakai otak ya. Mudah-mudahan betul-betul bertaubat dan dimaafkan Allah SWT dan keluarga arwah,” coret Damien.

Terdahulu, individu yang menggunakan akaun Facebook dengan nama id Ibnu Ahmad Ar-Rayyan III telah memberikan komen biadab terhadap Allahyarhamah Adibah Noor.

Ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati selepas individu berkenaan meninggalkan komen dengan menyentuh soal aurat arwah yang tidak ditutup.

Bagaimanapun akaun Facebook milik pemuda berkenaan tidak ditemui dan dipercayai telah dinyahaktifkan.