Pendakwah popular Datuk Ustaz Kazim Elias mendedahkan bakal terlibat dalam sebuah filem biografi pada bulan Mac depan.

BACA: "Nak Tunjuk Takut Dikata Propa" - 6 Doktor Pakar Gagal Kesan Penyakit Misteri Ustaz Kazim Elias, Masih Teruskan Perubatan Alternatif

Tawaran itu kata Ustaz Kazim, 49, merupakan satu hikmah atas pelbagai ujian yang menimpanya termasuk penyakit misteri sejak tahun lalu.

"Allah bagi saya sakit macam-macam sebab Dia nak berikan hikmah lain. Itu yang merawat hati saya dan saya bersangka baik. Saya anggap dosa saya banyak, jadi ini satu perkara yang menghapuskan dosa.

"Ada orang tanya, ustaz sakit dalam tiga empat bulan ni apa benda yang Allah berikan pada ustaz. Saya dapat tawaran berlakon filem, jadi hero. Ia filem biografi tentang saya," ujarnya kepada Gempak.

Bagaimanapun, beliau belum boleh berkongsi secara terperinci mengenai filem biografi tersebut.

Ustaz Kazim ditemui pada majlis pelancaran perisa baharu Susu Kambing Faa-iz di Kompleks Islam Datul Faizin (KIDaF), Kedah baru-baru ini. Turut dianjurkan pada program sama adalah Forum Perdana Israk Mikraj.

Melanjutkan bicara, kata Ustaz Kazim lagi, filem biografi itu akan menceritakan kehidupannya dari kecil hingga sekarang.

"Alhamdulillah, saya bersyukur pada Allah. Rasanya di Malaysia ini cerita pertama tentang kehidupan ustaz. Kehidupan sejak kecil hingga sekarang.

"Pengarahnya biarlah rahsia dulu, nanti ada majlis pelancarannya pada Mac nanti.

"Setakat ini saya sudah buat skrip dan pihak mereka juga sudah menghantar sinopsisnya pada saya. Tinggal untuk mulakan penggambaran saja," tambah beliau.

Sementara itu, pelancaran tiga perisa baharu Susu Kambing premium itu dilihat mampu mewujudkan ekosistem janaan ekonomi serampang dua mata.

Kata Pengerusi, KIDaF, Ustaz Jafri Abu Bakar@Mahmud, susu berkenaan awalnya dilancar dengan perisa asli selama setahun sebelum diperkenalkan perisa vanilla, coklat dan strawberi.

"Kita bermula dengan susu Faa-iz biasa tanpa perisa selama lebih setahun di pasaran sehingga pada suatu ketika kami merasakan ada keperluan untuk mengeluarkan susu yang berperisa.

"Jadi tiga perisa yang kita lancarkan pada hari ini adalah coklat, vanilla dan strawberi. Tiga perisa ini terhasil daripada kajian secara rambang ke atas pengguna dan pengedar-pengedar susu Faa-iz," ujarnya.


Jafri berkata, idea untuk membangunkan Susu Kambing Faa-iz tercetus ketika terlalu sibuk dengan pelbagai program sehingga kadangkala tidak sempat untuk makan. Beliau turut memikirkan cara alternatif menjana pendapatan untuk madrasah dan tidak hanya bergantung dengan kutipan sumbangan untuk kelangsungan operasi semata-mata. Cara terbaik adalah dengan memulakan perniagaan ini memandangkan KIDaF tidak mengenakan yuran kepada pelajar.

"Jadi saya memikirkan satu sumber alternatif, bak kata orang utara yang boleh mengalas perut sebelum dapat makan dengan sempurna. Selepas berbincang, kami merasakan minuman susu adalah yang paling sesuai dan susu yang terbaik adalah susu kambing.

"Ramai tahu akan kelebihan susu kambing sebagai ‘Miracle Food’. Susu terbaik di dunia selepas susu ibu ialah susu kambing. Jadi kita masukkan beras perang yang jarang-jarang dibuat orang. Tujuannya yang pertama adalah untuk menghilangkan bau hamis kambing dan keduanya membantu kita untuk merasa kenyang.

"Kita juga memasukkan kurma untuk memberikan tenaga segera sekali gus bertujuan untuk menggantikan gula,” jelas ustaz Jafri sambil mengakui Susu Kambing Faa-iz boleh diminum oleh mereka yang menghidap kencing manis.


Jelas ustaz Jafri, Ginko Biloba turut dimasukkan untuk kecerdasan otak bagi manfaat pelajar yang menghafaz al-quran di Darul Faizin selain warga emas yang mampu meningkatkan ingatan selain garam bukit yg banyak khasiatnya sebagai penambah perisa.

Apa yang lebih menarik, walaupun ia memiliki kelebihan sedemikian rupa namun hargnya masih sangat berpatutan jika dibandingkan dengan produk lain di pasaran.

Paling penting ia sesuai untuk semua peringkat umur daripada sekecil-kecil anak yang berusia 2 tahun sehinggalah kepada warga emas. Harga sepek Susu Kambing Faa-iz cuma RM45 dan RM39.90 untuk ahli.