Berita
"Saya Berada Dalam Keadaan Stabil & Sihat" - Jackie Wong
Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong yang sebelum ini disahkan positif virus COVID-19 berada dalam keadaan sihat dan stabil, lapor Astro AWANI.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Jackie menerusi status terkini dalam facebook peribadinya.
“Setakat ini, saya berada dalam keadaan yang stabil dan sihat," tulisnya.
Pemenang pingat perak Sukan Sea 2019 itu dikuarantin di Hospital Sibu selepas disahkan positif COVID-19 selepas melakukan pemeriksaan pada 14 Mac lalu.
Menurut Jackie, dia kini menerima rawatan dan tahap kesihatannya dipantau secara berkala.
Jackie dipercayai dijangkiti wabak itu ketika melawat bapanya, Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu yang kini sedang dirawat di hospital yang sama, kerana jangkitan tersebut.
“Mengenai ayah saya, keadaannya pada hari ini lebih baik berbanding beberapa hari lepas, meskipun masih menggunakan alat sokongan pernafasan.
"Saya juga ingin membuat teguran di sini supaya jangan mengeluarkan atau berkongsi berita-berita yang palsu dan belum disahkan oleh KKM, anda amat dihargai!
"Teruskan doa anda untuk ayah saya dan ahli-ahli keluarga saya," katanya.
Untuk rekod, Jackie merupakan pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi dengan jarak 68.22 meter.
Jackie pernah memecahkan rekod kebangsaan sebanyak empat kali pada tahun lalu ketika beraksi di Kejohanan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Terbuka Korea Selatan dan Kejuaraan Olahraga Asia.
Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Sumber : AWANI
Must-Watch Video