Pelakon Hafeez Mikail berasakan dirinya bertuah berpeluang belajar bermain gitar di bawah bimbingan penyanyi MonoloQue yang juga pengarah muzik filem Busker.

Hafeez atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Muhammad Zaki, 25, berkata, peluang itu hadir tanpa diduga kerana bidang nyanyian dan muzik merupakan kegemarannya.

"Saya salah seorang yang bertuah kerana dapat belajar banyak perkara sepanjang penggambaran filem itu, terutama dapat menimba ilmu daripada MonoloQue.

"Bukan hanya menyanyi namun saya dapat mengenali kod serta hala tuju muzik yang sesuai dan gaya persembahan.

"Saya sanggup belajar bermain gitar sampai jari bengkak supaya persembahan saya menjadi.

"MonoloQue banyak menarik minat saya dalam bidang muzik dan dia telah mengubah genre muzik yang saya dengar sebelum ini," katanya kepada Astro Gempak.

Hafeez berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Filem Busker, di e@curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain Hafeez dan Dayan, filem Busker turut dibintangi oleh Anas Ridzuan, Bulan dan Mas Khan.

Filem arahan Syed Khairul Fariz ini bakal ditayangkan dipawagam bermula 11 Januari 2018.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi