Laman Utama
"Saya Dah Cukup Penat, Serah Semua Kepada Allah" - Caprice
"Saya sudah penat." Itulah kata-kata bintang rap Caprice yang dikongsi menerusi Instagram Story malam tadi.
Menurut Caprice, dia telah meminta maaf atas apa yang berlaku kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan, namun masih kecewa dengan tindakan segelintir pihak.
"Saya sudah minta maaf dan tak nak keruhkan keadaan lagi, tapi kita sangat kecewa dengan pihak-pihak yang berguna kuasa untuk sembunyikan orang lain.
"Ini adalah kali kedua perkara macam ini berlaku tahun ini, saya dah cukup penat dan serah semua kepada Allah," tulisnya.
Dalam pada itu, Caprice juga mengatakan akan memperbaiki dirinya agar menjadi lebih baik.
"Saya memilih untuk memperbaiki diri, saya masih belum 'sembuh' dengan apa yang berlaku tetapi Insya-Allah, mental dan fizikal saya akan menjadi lebih baik selepas ini," tulisnya lagi.
Malam tadi, Caprice membatalkan sesi Instagram Live yang dijadualkan berlangsung pada pukul 10 malam selepas pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew membuat laporan polis susulan kontroversi yang dikatakan dicetuskannya berhubung misi bantuan ke Gaza.
Pada Rabu, Ebit telah membuat laporan polis berhubung dakwaan yang dikatakan dibuat terhadap dirinya oleh beberapa individu.
Sebelum ini nama Caprice terpalit kontroversi selepas memuat naik beberapa hantaran di Instagram, meluahkan rasa tidak puas hati apabila tidak dibenarkan masuk ke Gaza.
Isu menjadi lebih hangat apabila nama Ebit turut disebut dan warganet mengecam sehingga mendakwa Caprice berdengki dengan penceramah bebas tersebut.
Bagaimanapun, selang beberapa hari, Caprice tampil memohon maaf secara terbuka kepada DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan pendakwah bebas Ebit Lew.
Menerusi laporan Gempak semalam, Caprice memberitahu dia memilih untuk tidak bersama-sama yang lain pulang ke Malaysia kerana akan meneruskan perjuangan di Palestin secara bersendirian.
Must-Watch Video