Penyanyi lagu Ratnaku, Roy berharap agar dirinya cepat sembuh supaya dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Roy yang juga bekas bintang Gegar Vaganza 2019 berkata, dia dimasukkan ke Hospital Banting tengah malam tadi selepas mengalami sesak nafas.

“Mula-mula saya sesak nafas dan pergi ke klinik biasa. Tapi selepas buat pemeriksaan doktor cadangkan saya ke hospital berdekatan.

“Di hospital, doktor beritahu ada jangkitan kuman dalam paru-paru dan saya dimasukkan ke wad,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu Roy turut memberitahu ada menjalankan ujian saringan Covid-19.

“Prosedur sekarang, sesiapa pun diwajibkan menjalani saringan Covid-19. Saya masih menunggu keputusan. Harapnya negatiflah sebab kalau positif saya akan dihantar ke Sungai Buloh.

“Saya di sini pun tidak tahu berapa lama, disebabkan jangkitan kuman dan perlu dirawat dengan segera.

“Pernafasan juga masih belum stabil dan tidak mampu bercakap banyak,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan wang ke akaun CIMB bernombor 7600847289 atas nama Mohammed Rauzan Bin Alwi.