Penyanyi dan bintang program Big Stage, Wani Kayrie bakal tampil dengan single terbaru tidak lama lagi.

Menurut Wani, single tersebut bakal dihasilkan oleh Alif (bekas anggota Sleeq) dan akan dihasilkan dalam genre yang berbeza dengan nyanyiannya sebelum ini.

"Insya-Allah, selepas musim perayaan (Aidilfitri) ini, saya akan lancarkan single terbaru ciptaan Alif.

"Genre yang dihasilkan adalah berbeza dengan genre nyanyian saya sebelum ini, saya tidak sabar untuk menghasilkannya kerana saya ingin cuba perkara baru.

"Kami akan adakan perbincangan dalam masa terdekat, semoga semuanya berjalan dengan lancar," katanya kepada Gempak.

Dalam kesibukan bergelar penyanyi, Wani kini melanjutkan pengajian di sebuah universiti swasta tempatan dalam bidang undang-undang.

Tahun lalu, Wani telah memenangi tempat keempat di pentas akhir Big Stage yang turut menampilkan Sarah Suhairi, Syafiq Farhain, Afieq Shazwan dan Baby Shima sebagai finalis.