Penyanyi Aishah berkongsi kisah mengenai keadaan kesihatannya sebaik disahkan pulih daripada jangkitan virus COVID-19.

Menurut Aishah atau nama sebenar, Wan Aishah Wan Ariffin, 56, selepas lima hari dibenarkan keluar dari hospital, tahap oksigen serta paras gula dan darah kini dalam keadaan stabil.

Pun begitu, penyanyi Janji Manismu itu turut mendedahkan bahagian paru-parunya mengalami sedikit kerosakan.

“Saya diberitahu damage pada paru-paru lebih kurang 20 peratus. Walaupun you all nampak saya hyper dan ada yang risau maybe terlalu hyper, sebenarnya i paksa diri untuk buat macam tu.

“Saya tak tahulah sama ada pesakit Covid lain pun lalui perkara sama,” katanya.

Jelas Aishah, fasa pemulihan Covid juga mengambil masa agak lama untuk betul-betul berkesan.

“Ini kerana Covid bukan serang fizikal tetapi juga mental. Tak tahulah samada saya je yang merasakan impact ini.

“Pemikiran saya kalau tak kuat lawan, traumanya boleh kita buat termenung je, otak blur dan traumatised.

“Kalau I layankan boleh jadi mcm 'zombie' kadang-kadang. Alhamdulillah kesan tu saya lawan dengan sentiasa mengaji dan berzikir.

“Kalau ikut hati sedap layan tengok dinding saja. Ya Allah the psychological effect of Covid.

“Dari segi fizikal I rasa cepat penat terutama bila naik turun tangga dan tak boleh berdiri lama, badan rasa melayang kena cepat baring.

“Tapi saya sangat bersyukur masih berada di sini. Mohon doakan I dapat pulih sepenuhnya,” katanya.

Sekadar info, Aishah dilaporkan positif COVID-19 sekitar 31 Ogos lalu selepas menjalani ujian calitan (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta dan dikejarkan ke hospital berikutan paras oksigen merosot.

Selepas, hampir dua minggu dirawat di Hospital Ampang akibat jangkitan COVID-19, penyanyi Aishah semakin pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.



A post shared by Wan Aishah Wan Ariffin (@aishahjmm)