Hiburan
"Saya Maafkan Mereka...Tak Ambil Tindakan" - Haqiem Rusli Komen Isu Lagu Diciplak
Penyanyi popular, Haqiem Rusli akui tidak berasa marah berkenaan isu kumpulan dari Indonesia, Symphony Band yang didakwa menciplak lagu hitnya, Tergantung Sepi.
Menurut Haqiem, dia telah menerima mesej permohonan maaf yang dihantar kepadanya secara peribadi dari salah seorang ahli kumpulan tersebut.
"Saya tidak marah dengan tindakan mereka itu, malah telah memaafkan, cuma saya rasa kecewa kerana mereka tidak menunjukkan keaslian dalam menghasilkan karya.
"Mereka boleh buat lagu sendiri tanpa perlu meniru mana-mana lagu hasil ciptaan komposer lain.
"Saya ada menerima mesej permohonan maaf yang dihantar secara peribadi oleh salah seorang ahli kumpulan itu dan saya memaafkan mereka," jelasnya.
Haqiem berkata demikian ketika ditemui di Pentas Akhir Personaliti Top Era bertempat di Publika Shopping Gallery, Kuala Lumpur Jumaat lalu.
Tambah Haqiem, dia tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan terbabit kerana tidak mahu menyulitkan lagi keadaan.
"Saya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka, permohonan maaf itu sudah mencukupi, saya tak mahu menyulitkan lagi keadaan.
"Namun, saya tidak tahu tentang tindakan yang akan diambil oleh pihak komposer, penulis lirik dan label," tambahnya.
Baru-baru ini, kecoh apabila Symphony Band menghasilkan lagu berjudul Pergi Saja yang didakwa mempunyai banyak persamaan dengan lagu Tergantung Sepi nyanyian Haqiem.
Namun begitu, muzik video rasmi lagu kumpulan dari seberang itu telah dipadam dari tayangan di laman YouTube tidak lama selepas itu.
Must-Watch Video