Hiburan
"Saya Mahu Bina Nama Dahulu..." - Imran Aqil Sedia Berentap Dalam Hero Remaja 2020
Finalis Hero Remaja 2020, Imran Aqil telah bersedia untuk bersaing dengan sebelas peserta lain yang turut berjaya dipilih dalam senarai top 12.
Menurut Imran, dia menyertai pertandingan itu sebagai langkah awal membina namanya dalam industri hiburan tempatan.
"Saya mahu membina nama dalam industri hiburan tempatan, selepas penglibatan dalam Hero Remaja 2020 ini, saya akan merebut peluang untuk berlakon dan mengacara.
"Selepas ramai yang mengenali saya, barulah saya boleh lakukan sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada orang lain seperti membuka jenama sendiri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya," ujar Imran.
Imran berkata demikian ketika ditemui di majlis pengumuman 12 finalis Hero Remaja 2020 bertempat di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur petang semalam.
Tambah Imran, abangnya Nabil Aqil yang pernah menyertai Hero Remaja 2017 banyak memberi dorongan kepadanya.
"Abang saya banyak memberi dorongan kepada saya, salah satunya, dia selalu menasihati saya untuk tidak terlalu risau dengan ketiggian saya.
"Meskipun ketinggian saya lebih rendah dari finalis lain, Nabil menasihati saya untuk menjadikannya satu kelebihan.
"Selain itu, Nabil juga menasihati saya untuk bersikap mesra dengan orang lain dan sentiasa menjadi diri sendiri," tambahnya.
Semua finalis Hero Remaja 2020 bakal berdepan dengan pelbagai cabaran untuk mengasah kebolehan masing-masing. Mereka juga akan diuji untuk berlakon, mengacara, menjadi model dan duta produk sebagai satu proses menentukan siapa yang bakal menyandang gelaran juara.
Scha Alyahya dan Datuk Hans Isaac telah diberi kepercayaan sebagai juri, manakala Aina Edruce menggalas tanggungjawab sebagai hos program tersebut.
Rakaman Hero Remaja 2020 akan bersiaran selama tujuh episod pada setiap Khamis jam 9.00 malam bermula 27 Februari ini secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123)
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ia turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Astro Go dan on demand.
Must-Watch Video