Hiburan
“Saya Mahu Netizen Ceria Ketika PKP Ini” - Remix & Rap Ucapan Perdana Menteri, Pegawai Bank Ini Tampil Bersuara
Jika sebelum ini namanya dikenali selepas mengolah lagu daripada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, namun kini dia sekali lagu mencuri perhatian apabila terpalit dalam ucapan Perdana Menteri.
Pada yang tidak tahu, semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin sempat berseloroh dalam ucapannya mengenai kepelbagaian aktiviti dilakukan rakyat untuk menghilangkan rasa bosan duduk di rumah.
Muhyiddin turut menyedari pesanannya dalam Perutusan Khas telah diremix dan dijadikan lagu berentak rap.
Secara kebetulan, seorang pegawai bank Hanif Mohd Jaffar sebelum ini turut menghasilkan lagu ucapan Perdana Menteri itu dalam bentuk rap.
Menurut Hanif idea berkenaan datang selepas melihat analogi 'Makcik Kiah' yang digunakan amat menarik dan dekat dengan masyarakat.
"Perkataan dan ton suara yang digunakan juga tidak ‘keras'.
"Saya siapkan lagu dalam satu malam sebab saya memang bercadang untuk buat video klip," katanya.
Walaubagaimanapun, menurut Hanif, dia tidak mahu mendabik dada atas ucapan berkenaan.
"Apabila PM sebut tentang remix dan rap itu, saya juga tidak tahu lagu rap mana yang beliau maksudkan kerana terdapat banyak video seumpamanya di media sosial.
"Namun jika lagu saya yang beliau maksudkan, saya berharap PM tidak berkecil hati. Niat saya hanya untuk menceriakan netizen sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan ini," katanya.
Must-Watch Video