Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mendapat pujian ramai netizen apabila mendidik anaknya mengenai ibadah puasa dan menghormati bangsa lain.

Kata netizen, biarpun Chong Wei menyampaikan cerita itu secara bersahaja di Instagram, ia sedikit sebanyak berjaya menjentik kesedaran ramai.

Chong Wei dalam posting di Instagram baru-baru ini berkongsi kisah ringkas anaknya, Kingston Lee di sekolah yang keliru tentang ibadah puasa rakan-rakannya yang beragama Islam.

"'Tadi masa waktu rehat, saya berkongsi makanan dan minuman dengan rakan sekelas. Ada dua orang kawan baik saya, Syihan dan Amli tak nak makan. Kenapa?'

"Tidak sempat saya menjawab, dia terus sambung 'Pastu I pun dinasihat cikgu supaya makan di sudut jauh dari segelintir kawan-kawan I. Apa salah saya, papa?'

"Tergamam aku dibuatnya seketika. Salah saya juga sebenarnya kerana tidak memberi penjelasan bulan puasa sebelum ini.

"'Koko, you tak salah. Kawan-kawan you tu sebenarnya dah start puasa. Dan cikgu suruh makan di tepi sebagai tanda penghormatan kepada kawan-kawan yang tengah berpuasa tu. Jadi, kamu kena nasihat kawan-kawan Cina India lain, mesti sokong kawan-kawan Melayu ni menjalankan ibadah puasa. Kena bertolak-ansur dan hormat sesama lain'," cerita Chong Wei.

Bagaimanapun, penjelasan Chong Wei tidak memberikan pemahaman jelas kepada anaknya hingga mempersoalkan semula tentang sikap tolak ansur.

"Sulung yang kini dah 8 tahun sudah start menunjukkan sikap memberontak. 'Kenapa kena bertolak ansur ? Saya makan saya punya hal, dia puasa dia punya hal.'

"Belum sempat saya marah, tangan penampar @wongmewchoo terus melanda ke atas tangan anak. Tahulah saya dia pandai smash gak, tapi memang laju tangan dia kali ni," tambahnya.

A post shared by Datuk Wira Lee Chong Wei (@leechongweiofficial)


Ketika anaknya sedang menangis, Chong Wei menjelaskan tentang sikap saling menghormati antara bangsa dan agama berbeza demi menjamin keharmonian bersama.

Hal itu termasuk toleransi antara agama berbeza ketika meraikan pelbagai perayaan di Malaysia dalam keadaan muhibbah.