Penyanyi serta guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat membawa pendekatan sedikit berbeza buat program All Together Now Malaysia musim kedua (ATNM2) apabila diberi galas sebagai ketua juri atau kapten bersama 49 juri yang lain.

Kata Syafinaz, dia mahu menyuntik elemen kepentingan nyanyian sebagai satu bidang yang dipandang tinggi sama dengan karier lain.

“Saya tahu rancangan ini konsepnya lebih rileks berbanding pertantingan nyanyian yang lain tetapi saya tetap mahu suntik elemen kepentingan nyanyian ini. Ia bukan bidang yang kita hanya suka-suka dan nak gembira sahaja.

“Seboleh-boleh saya nak jadikan rancangan ini berada di atas lebih tinggi dan bukan hanya untuk berseronok sahaja,” katanya kepada Astro Gempak.

Syafinaz dibantu oleh Ajai selaku penasihat utamanya dalam ATNM2 yang akan berlangsung pada 10 Disember nanti.

Dalam pada itu, Syafinaz tidak kisah jika dibandingkan dengan kapten ATNM musim lalu iaiti Datuk AC Mizal kerana dia akui memang seroang juri yang serius.

“Pada saya masing-masing ada pandangan mereka bagaimana mereka melihat program ini. Terus-terang saya sendiri tidak menonton program ini terdahulu sama ada yang dari luar negrara atau tempatan.

“Tapi apa yang pasti untuk memilih peserta ke peringkat akhir saya memang serius kerana bidang ini cari makan saya..jadi saya tak nak orang ingat jadi penyanyi ini mudah dan hanya untuk berseronok,” katanya lagi.

Selain Syafinaz dan Ajai, ATNM2 mempersembahkan barisan juri yang popular dan terkenal dengan mengetengahkan 13 muka juri baharu termasuk Datuk Aznil Hj. Nawawi, Ajai, Rozita Che Wan, Shila Amzah, Nikki Palikat, Marsha Milan, Reshmonu, Vince Chong serta ramai lagi.

Manakala pengacara bubbly dan bertenaga, Sherry Alhadad kembali untuk mengemudi ATNM2. Kehadirannya pasti meriuhkan lagi suasana musim terbaharu ini kelak.

Saksikan ‘All Together Now Malaysia 2’ yang bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 11 Disember 2022 di saluran Astro Ria serta strim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.