Drama bersiri Bukan Gadis Biasa yang dibintangi oleh Ayda Jebat dan Remy Ishak mendapat perhatian ramai pihak.

Menerima pelbagai respon, ada yang memberikan maklum balas positif terhadap karya arahan Azman Yahya atau Jinggo ini.

Namun, terdapat juga pandangan dan kritikan negatif yang dilemparkan netizen terhadap drama bersiri terbabit.

Antaranya, wargamaya mendakwa suntingan drama bersiri itu berada di tahap yang teruk.

Gempak menghubungi Ayda selaku bintang utama drama bersiri terbabit untuk mendapatkan pandangannya mengenai kritikan yang diberikan netizen.

"Saya mohon maaf jika ada penonton yang kurang senang dengan perkara terbabit. Penonton sekarang sudah semakin bijak dan boleh melihat sendiri kekhilafan itu.

"Jangan salahkan editor atau penyunting semata-mata kerana bagi pendapat saya, semuanya harus bekerjasama.

"Saya salahkan diri sendiri. Kadang-kadang, sebagai seorang pelakon, saya terlupa 'conti' lakonan saya. Sekejap berdiri, sekejap duduk.

"Krew yang menjaga konti juga mungkin terlepas pandang. Akhirnya, editor pun tak boleh nak buat apa dan mereka harus menyunting drama terbabit menggunakan visual yang sedia ada," katanya ketika dihubungi.






Tambah Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 28, dia bersyukur biarpun naskhah terbabit terpalit dengan beberapa isu, ia tetap mendapat sambutan baik.

"Alhamdulillah, melihat kepada sudut yang baik, drama bersiri ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

"Saya bersyukur kerana masih ramai penonton yang mengambil unsur positif yang diterapkan dalam drama bersiri ini untuk dijadikan teladan dan contoh.

"Saya juga terharu kerana drama bersiri ini menjadi topik bualan yang trending saban malam di laman sosial Twitter.

"Segalanya yang baik datang dari Allah dan segala yang kurang itu datang dari saya sendiri. Saya berharap orang ramai dapat mengambil nilai-nilai baik yang diterapkan dalam drama bersiri ini," katanya lagi.

BACA: "Pelakon Veteran Mungkin Tak Larat, Risau Tak Mampu Hafal Skrip" - Pengarah Jelaskan Kenapa Sheila Rusly Lakonkan Watak Nenek Tua

BACA: "Jawapan Jinggo Macam Kurang Ajar Sangat Bunyinya .." - Warganet Hentam Pengarah Drama Bukan Gadis Biasa

Selain suntingan, drama bersiri Bukan Gadis Biasa turut mendapat kritikan dari segi solekan kesan khas watak tua yang dijayakan oleh Sheila Rusly serta kenyataan pengarahnya, Jinggo yang mendapat perhatian netizen.