Hiburan

"Saya Nak Enjoy Je... Tapi, Memang Gementar" - Ruhainies

gempak
Kamaruddin Razal
03/10/2019
02:28 MYT
Sponsor Banner
"Saya Nak Enjoy Je... Tapi, Memang Gementar" - Ruhainies
Pelakon cantik, Ruhainies mengakui peluang untuk beraksi di pentas All Stars Buka Panggung (ASBP) minggu keempat merupakan satu pengalaman baru untuk dirinya.
Kata Ruhainies, dia cuba mengatasi rasa gugup berhadapan dengan ramai orang untuk mencabar diri sendiri.
"ASBP menjadi satu memori baru untuk saya. Ini merupakan pengalaman pertama saya beraksi dan bertanding di atas pentas secara langsung dan ditonton oleh ramai orang. Sejujurnya, saya memang gugup.
"Saya ambil tawaran ini untuk mencabar diri melakukan satu benda yang belum pernah saya buat. Saya mahu lupakan rasa 'nervous' dan mahu 'enjoy' sahaja di atas pentas. Tapi, memang gementar... Rasa itu tak boleh nak elak," katanya tersenyum.
Tambah pemilik nama Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas ini, pengacara ASBP Shahrol dan Ajak Shiro banyak membantunya untuk lebih tenang di atas pentas.
"Shahrol dan Ajak banyak membantu saya. Mereka lebih berpengalaman membuat persembahan di atas pentas sebegini. Saya akui saya perlu banyak berlatih jika mahu menghilangkan rasa gugup.
"Saya kagum dengan pelawak yang boleh mengawal pentas serta mengeluarkan idea spontan. Berada di pentas ASBP merupakan satu dimensi baru dalam kerjaya saya dan saya melihatnya dari sudut yang positif. Banyak yang saya pelajari," katanya lagi.
Ruhainies ditemui usai minggu keempat ASBP di Royal Theatre, Shah Alam pada Jumaat.
Bertarung dengan tiga pelakon lain iaitu Datuk Fizz Fairuz, Rita Rudaini dan Johan Asari, kemenangan minggu keempat ASBP berpihak kepada Rita.
Rita bakal berentap bersama pemenang episod-episod lain pada pusingan separuh akhir di minggu keenam nanti.
Pusingan akhir pula akan berlangsung pada minggu ketujuh.
Rita memenangi RM4,000 berserta trofi dan wang tersebut telah disumbangkan kepada pelakon veteran tanah air yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Ramli Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Limra.
Merupakan ahli Persatuan karyawan Malaysia, kini Pak Limra berada di Pusat Jagaan Mahmudah Warga-Warga Tua di Semenyih, Selangor.
ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.
Program ini menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.
Primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira pula menggalas tugas sebagai Seri Dewi Panggung.
ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.
Program ini akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, pukul 9 malam secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024