Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pepatah ini cukup menggambarkan kemenangan selebriti versatil Shiha Zikir merangkul trofi Festival Model Asia 2021 (Asia Model Awards) bagi kategori Malaysia Model Star Award yang berlangsung di Korea Selatan, semalam.

Menurut Shiha, dia sangat terharu dan tidak menyangka akan menerima pengiktirafan sebegitu.

"Sudah tentu saya sangat terharu, orang pertama yang beritahu saya tentang anugerah ini adalah seorang stylist bernama Azuki. Kami kenal ketika saya terlibat dalam penggambaran video klip Tahun Baru Cina baru-baru ini.

"Saya pun tak tahu apa kelebihan yang ada pada saya, katanya dia nak masukkan nama saya untuk anugerah ini, perkara pertama saya beritahu dia, saya tak cantik, orang lain lagi layak.

"Bagaimanapun, dia tetap berkeras dan mahu menghantar nama saya, saya memang tak jangka sebab ketika itu kami pertama kali berjumpa," katanya kepada Gempak.

Tambah Shiha, rasa ragu-ragu tentang penglibatannya dalam anugerah tersebut berakhir ketika trofi sampai ke tangannya sendiri melalui kiriman pos dari Korea.

"Mula-mula saya ragu-ragu fikir betul atau tidak, tapi tiba-tiba trofi anugerah itu betul-betul sampai ke tangan saya kerana mereka dari Korea hantar melalui pos memandangkan saya tak kesana tahun ini.

"Saya sangat gembira, seronok sangat rasa bila orang luar hargai nama saya sedangkan bagi saya, ramai lagi yang lebih layak.

"Apapun ini satu rezeki yang Allah nak bagi, saya terima dengan penuh senang hati. Pasukan dari Korea sangat positif, mereka pelawa saya datang ke Korea untuk terokai lebih lagi.

"Jadi impian saya memang untuk lakukan projek di sana, saya mahu cuba dari segi lagu, ikutlah rezeki apa yang dipermudahkan untuk saya nanti," katanya lagi.

A post shared by Shiha Zikir (@shihazikir)


Baru-baru ini, Shiha mendapat empat pencalonan untuk Anugerah MeleTOP ERA 2021 (AME2021) bagi kategori iaitu Lagu Meletop Era (AEWO), Grup/Duo Meletop Era (bersama Noki menerusi AEWO), Bintang Filem Meletop dan Artis Versatil Meletop.

Julai lalu, Shiha juga menerima anugerah dari Los Angeles, Amerika Syarikat dalam acara InterContinental Music Awards (ICMA) 2021 menerusi lagunya bersama Noki K-Clique berjudul AEWO.

BACA: Menang Anugerah Di Luar Negara, Shiha Zikir Terima Ucapan Tahniah Daripada Artis & Komposer Los Angeles!

BACA: "Kau Balik Rumah Cermin Muka!" - Tergamak Rakan Artis Call Semata-Mata Nak Hina Shiha Zikir


Dalam perkembangan lain, pemilik nama lengkap Nurshiha Mohd Zikir, 34, tampil dengan video muzik rasmi untuk single terbarunya, Irama.

Kata Shiha, dia dan seluruh pasukannya sangat bersyukur kerana muzik video berkenaan mendapat respon positif dari para peminat di YouTube.

"Alhamdulillah, saya mewakili team, sangat bersyukur dan gembira apabila ramai yang suka dan puji muzik video Irama.

"Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus memberi yang terbaik kepada para peminat selepas ini," katanya menutup bicara.