Pelakon dan model, Ikmal Amry merancang untuk berehat dari aktiviti lakonan selepas mendirikan rumah tangga bersama tunangnya, Najla.

Namun menurut Ikmal, tempoh berehat yang dimaksudkan itu tidak akan memakan masa yang lama.

"Insya-Allah, saya merancang untuk berehat seketika selepas berkahwin nanti.

"Tetapi tempoh rehat itu tidaklah lama, mungkin sebulan atau dua bulan sahaja, dapatlah saya meluangkan masa dan fokus dengan kehidupan baru berumah tangga nanti," kata Ikmal kepada Gempak.



Tambah Ikmal, dia telah menerima banyak tawaran berlakon yang telah dijadualkan sehingga hujung tahun.

"Saya sudah terima banyak tawaran lakonan, boleh dikatakan sehingga hujung tahun ini, kebanyakan yang saya terima adalah tawaran berlakon drama.

"Kalau ikutkan, saya memang mahu kerja keras tahun ini sebelum berkahwin, tetapi isu COVID-19 pula yang melanda membuatkan ada sesetengah projek tergendala," tambahnya.



Terdahulu, Ikmal dan Najla telah melangsungkan pertunangan pada 26 Mei, Hari Raya ketiga.

Pasangan ini juga merancang untuk menamatkan zaman bujang pada Disember tahun ini.


BACA : Ikmal Amry Selamat Langsungkan Pertunangan, Rancang Nikah Hujung Tahun