“Saya teruja ingin melakonkan watak jaguh keirin dunia itu.”

Itu merupakan respon pelakon Shaheizy Sam susulan hasrat Azizulhasni Awang yang menginginkan Sam membawa watak The Pocket Rocketman dalam filem biopiknya.

Jelas pelakon Polis Evo itu lagi, dia sememangnya meminati dan gemar melakonkan watak yang mempunyai kisah perjuangan.

“Saya memang teringin untuk melakonkan watak bagi filem bercorak biografi dan setakat ini saya belum pernah lakukannya.

“Jika diberi peluang, saya akan cuba menjiwai watak dan mahu mengenali secara rapat Azizul terlebih dahulu agar berjaya melakonkan karakter dengan baik,” katanya ketika dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas.

Sam yang juga berlakon dalam filem Songlap itu berkata, dia baru sahaja selesai pengambaran Polis Evo 2 dan buat masa ini, dia tidak terikat dengan mana-mana pengambaran filem.

Terdahulu, suka duka perjalanan atlet yang diberi gelaran The Pocket Rocketman ini bakal diadaptasikan dalam bentuk filem bercorak biografi atau biopik tidak lama lagi.

Sumber: Astro Awani