Pernah bekerjasama dalam satu telemovie, Dynas Mokhtar antara yang hadir ke rumah waris untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Adibah Noor malam tadi.

Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar akui dirinya masih terkejut dan tidak percaya dengan perkhabaran perginya anak seni serba boleh itu.

“Kami mula rapat masa pengambaran sebuah telemovie dulu, waktu tu PKP dan menjadikan kami semakin akrab.

“Arwah ni sangat-sangat baik, dia selalu belanja dekat set pengambaran, pantang rehat sekejap mesti akan belanja makanan.

“Saya langsung tidak tahu dia sakit, kami sangat-sangat terkejut, even sehingga kini masih tekejut bila tahu Kak Dib dah tiada,” katanya.

Tambah pemilik restoran wanracafe itu, dirinya sedikit terkilan kerana tidak sempat memenuhi permintaan arwah untuk singgah ke restoran barunya.

“Cumanya ada satu perkara yang tak sempat nak saya nak buat bersamanya.

“Sebenarnya hari tu dia ada tanya berkenaan restoran saya, sebab dia ternampak posting abang Azhan Rani dekat Instagram.

“Dia tanya bila nak ajak dia pulak, jadi itu lah yang buat saya sedih dan terkilan sebab tak dapat nak tunaikan permintaan arwah,” tambah Dynas.

Allahyarham Adibah Noor telah menghembuskan nafas terakhirnya pada Sabtu lalu sekitar pukul 7:40 malam di Hospital Gleaneagles akibat menghidap kanser ovari tahap empat.