Hiburan
"Saya Selalu Menangis Dan Berkurung...Diejek Gemuk" - Beby Maembong
Usahawan dan kakak kepada pelakon Emma Maembong, Beby Maembong menceritakan pengalaman sedih ketika saiz badannya yang lebih besar beberapa tahun lalu.
Menurut Beby, saiz badannya ketika itu telah menjatuhkan keyakinan diri dan membuatkan dia berasa tertekan.
Perkara itu diluah menerusi entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan ramai.
"Saya pernah dibuli disebabkan kegemukan dahulu, perkara itu betul-betul memberi kesan kepada mental dan menjatuhkan keyakinan diri saya.
"Saya selalu menangis dan berkurung, elak bergambar dan berjumpa orang sebab saya rasa hodoh," tulisnya sebagai kapsyen.
Namun begitu, Beby tidak membiarkan perkara itu, dia nekad untuk membuat perubahan dengan menurunkan berat badannya.
"Tetapi semuanya berubah! saya dah bertarung untuk siapa diri saya hari ini, saya buat perubahan kerana saya tahu saya mampu lakukan, saya mahu jadi cantik," tambahnya.
Di entri itu, Beby turut berkongsi foto perbandingan ketika berat badannya mencecah 70 kilogram dahulu serta foto terkini dimana berat badannya telah diturunkan kepada 52 kilogram.
Perkongsian itu mendapat perhatian para pengikut Beby, rata-rata mereka meninggalkan respon positif dan turut bersemangat untuk menurunkan berat badan.
Terdahulu, Beby pernah tular kerana berpenampilan seperti duyung dan diberi jolokan 'Mermaid Malaysia' dengan memiliki pinggang bersaiz 23 inci dan berambut merah.
Must-Watch Video