Penyanyi Dayang Nurfaizah menganggap ia merupakan perkara biasa apabila peminat menginginkan hubungan lebih daripada rakan duet bersama penyanyi dan komposer Hael Husaini.

Menurut Dayang dia tidak menafikan berasa selesa apabila bersama Hael.

"Itu perkara biasa apabila peminat inginkan kami bersama bukan setakat rakan duet. Soal jodoh susah untuk saya perkatakan.

"Saya tidak menafikan berasa selesa apabila bersamanya kerana dia merupakan rakan duet yang memang serasi dengan saya.

"Hael juga seorang yang cukup berbakat dalam menghasilkan sebuah lagu," katanya kepada Gempak.

Dayang ditemui di Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME2019) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil Ahad lalu.

Tambah pelantun lagu Lelaki Teragung dia belum mempunyai perancangan untuk menyanyikan lagu terbaru selepas Haram.

"Lagu Haram merupakan lagu duet yang paling berjaya selama saya berada dalam industri muzik.

"Saya belum lagi mempunyai lagu baru bersama Hael.

"Hael sendiri sibuk dengan kariernya, kita tengok dulu macam mana nanti," katanya lagi.

Pada malam AME2019, Dayang berjaya merangkul sebuah trofi menerusi kategori Group/Duo MeleTOP bersama Hael Husaini.

AME2019 dihoskan oleh Neelofa, Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu telah berlangsung dengan meriah.

AME2019 menobatkan Khai Bahar dan Siti Nordiana sebagai pemenang Top Top MeleTOP Lelaki & Wanita pada edisi penganjuran kali ini.

Bertemakan Glam, AME 2019 bersiaran secara langsung pada jam 9.00 malam dan disiarkan di saluran Astro Ria (104), Astro Prima (105), Astro Ria HD (123) dan Maya HD (134).