HIBURAN
"Saya Seperti Ada Tiga Keluarga Sekarang" - BCL
Penyanyi. Bunga Citra Lestari meluahkan rasa syukur apabila keluarga Allahyarham Ashraf Sinclair dapat menerima kehadiran suami baharunya, Tiko Aryawardhana dalam hidupnya.
Jelas Bunga, 42, keluarga Tiko tidak mempunyai masalah dengan hubungan baik yang masih terjalin antara dirinya dan keluarga arwah suami terdahulu.
Malah, penyanyi itu turut menyatakan dia berasa beruntung kerana dia kini sudah memiliki tiga buah keluarga.
"Mereka (keluarga Ashraf) menerima Tiko seadanya. Saya juga bersyukur keluarga Ashraf dapat menerima kehadiran Tiko.
"Tidak hanya Tiko, tapi seluruh keluarga dia juga. Mereka juga tidak kisah melihat hubungan baik saya dengan keluarga Ashraf.
"Kalau dilihat semula sewaktu perkahwinan kami di Bali, saya seperti ada tiga ibu bapa sekarang. Ada ibu bapa saya, ibu bapa Ashraf dan ibu bapa Tiko. Jadi semuanya jadi satu keluarga," katanya kepada Gempak.
Bunga berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media An Intimate Afternoon with Bunga Citra Lestari di Imperial Lexis, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, pelantun lagu Ingkar itu turut memberitahu kasih sayangnya terhadap keluarga Ashraf bukan sekadar kerana hubungan perkahwinan yang pernah terjalin tetapi kerana hubungan kekeluargaan yang telah terbina dengan erat.
"Dulu saya mempunyai hubungan dengan Allahyarham Ashraf sebagai suami dan isteri.
"Saya tidak hanya bernikah dan mencintai Ashraf tetapi saya menyayangi seluruh keluarganya.
"Keluarga Ashraf pun sangat baik dengan saya, selalu memberi sokongan kepada saya. Malah sekarang menyokong Tiko untuk masuk ke dalam keluarga kami,”jelasnya.
Bunga bagaimanapun merasakan ikatan yang terjalin antara ketiga-tiga buah keluarga ini merupakan satu nikmat bahagia yang dimilikinya.
"Kami seperti sebuah keluarga besar. Saya rasa ia satu perkara sangat indah kerana bukan semua orang mempunyai kelebihan seperti ini.
"Lagi pun kami semuanya bersikap matang jadi hubungan itu lebih mudah untuk dijalinkan.
"Tidak ada perasaan cemburu atau iri hati, cuma bagaimana cara kita saling memberikan sokongan antara satu sama lain," katanya.
Untuk rekod, Bunga dan Tiko melangsungkan pernikahan di Bali, Indonesia pada 2 Disember 2023.
Sebelum ini Bunga pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ashraf Sinclair pada 2008 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Noah Aidan Sinclair, 14 tahun.
Ashraf meninggal dunia pada 18 Februari 2020 semasa tidur akibat serangan jantung.
Must-Watch Video