HIBURAN
"Saya Suka Nasi Lemak & Roti Canai Pisang" - Bernadya Luah Rasa Gembira Dapat Kembali Ke Malaysia
Penyanyi Indonesia, Bernadya meluahkan rasa teruja dan gembira apabila dia dapat kembali ke Malaysia selepas hampir setahun.
Menurut Bernadya, setiap kali berada di Malaysia, dia berpeluang untuk merasai pengalaman baharu dan amat mengagumi budaya serta keenakan makanan tempatan yang ada di Malaysia.
“Saya memang suka semuanya tentang Malaysia. Saya suka orang-orang di Malaysia, makanannya dan juga shopping di sini sebab semuanya murah-murah,” katanya kepada Gempak.
Tambahnya lagi, dia sangat menggemari suasana membeli-belah di ibu kota kerana pusat beli-belah yang terletak berdekatan antara satu sama lain memudahkan pergerakan, terutama sekali kepada pelancong yang datang ke Malaysia.
“Di KL, shopping mall semuanya dekat-dekat dan boleh jalan kaki je. Sangat convenient,” ujarnya.
Pada masa sama, pelantun lagu Satu Bulan juga berkongsi dia antara makanan tempatan yang disukai oleh dia adalah Nasi Lemak dan Roti Canai Pisang.
Katanya lagi, dia pernah mencuba satu hidangan masakan Cina yang sangat enak semasa bercuti bersama keluarga di sebuah hotel sekitar awal tahun ini.
“Kalau makanan, saya suka Nasi Lemak Burung Hantu dan Roti Canai Pisang. Sedap sangat roti tu.
“Ada satu makanan Cina tu, saya lupa nama dia tapi masa tu saya tengah bercuti dengan keluarga di hotel. Setiap hari kami makan dekat situ sebab makan dia sedap sangat,” kongsinya.