Penyanyi Top ERA, pencarian bakat nyanyian baharu mengumumkan Syazwan Syahmi, 23, sebagai juara pertandingan selepas berjaya mengharungi pelbagai tugasan dan cabaran sehingga ke pertarungan akhir yang berlangsung pada 24 Februari, di Kotak Hitam Space, Setia Alam.

Syazwan Syahmi membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 dan kontrak bersama muzik label Rocketfuel Entertainment. Manakala, empat finalis akhir lain: Maria Effendi (25), Akmar Natasha (23), Mohamad Afif (26) dan Manzack (29) menerima hadiah saguhati bernilai RM1,000 setiap seorang.

Kata Syazwan dia tidak menyangka dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian yang julung-julung kali diadakan itu.

"Syukur Alhamdulilah. Saya tak menyangka akan menang. Semestinya akan ada banyak lagi pada masa akan datang. Bismillah," tulisnya di Instagram.

Menerusi temuramah dalam slot JoHaRa Pagi ERA, Syazwan menyangkakan Maria Effendi lebih layak untuk menjadi juara pertandingan itu.

"Kalau diberikan pilihan saya nak perform lagi sekali, apa yang saya buat tidak cukup dan tidak begitu bagus.

"Bagi saya, Maria yang layaklah Maria," tambahnya yang menyanyikan lagu Paku (Ara Johari) pada final Penyanyi Top ERA.

A post shared by ERA - Muzik Hit Terkini (@era.je)


Pada pertarungan akhir, kesemua lima finalis mempersembahkan bakat nyanyian dan kreativiti mereka dengan iringan muzik dari kumpulan MADAM.

Penjurian di peringkat akhir dinilai oleh Kenny Ong, Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Radio, Sharon Paul, komposer terkenal Malaysia, dan Hael Husaini, penyanyi berbakat tanah air.

Penyanyi Top ERA turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Hael Husaini dengan lagu bertajuk ‘Kelentang Kelentong’, dan Irfan Haris, penyanyi muda berbakat besar dengan lagunya bertajuk ‘Milik’.

Para peminat dapat menyaksikan rakaman pentas akhir Penyanyi Top ERA yang dibawakan bersama Kucaté menerusi Facebook dan YouTube ERA. · Untuk maklumat lanjut, layari era.je atau ikuti laman media sosial ERA.