Pengarah berbakat besar Aziz M Osman punyai jawapan sendiri apabila netizen mula memetik namanya sebagai individu yang layak menyandang jawatan CEOKetua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Kata pengarah filem XX Ray itu, dia bukanlah calon yang layak untuk menggalas tanggungjawab itu.

"Saya tidak layak sebab 'pemalas'," ringkas jawapannya namun penuh makna.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter @imnazrinahmad mencadangkan Aziz sebagai individu yang layak berdasarkan idea dan visi yang futuristik.

"@AzizMOsman orang paling layak menerajui CEO FINAS. Idea dan visi beliau tu futuristik.

"Tapi majoriti produser melayu stuck dekat timeline 80'-an. So angkat mamat nih jadi peneraju FINAS. Kah! pathetic," tulis individu berkenaan.

Pada Khamis lalu, nama Ahmad Idham diumumkan sebagai penyandang jawatan CEO Finas menggantikan pemangku, Shakib Ahmad Shakir yang menjalankan tugas sejak empat bulan lalu.

Ahmad Idham yang sudah 25 tahun berada di dalam industri sebagai pelakon, pengarah dan penerbit filem itu mempunyai Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).