"Jangan libatkan orang lain dengan isu saya!"

Itu respon pelakon Intan Najuwa, 24, selepas aktor Zul Ariffin, 35, didakwa menjadi punca hubungan dia dan bekas tunangnya, Razrul Anwar Rusli berakhir.

Tegas Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid, dalam kemelut yang terjadi tidak timbul orang ketiga seperti yang didakwa segelintir pihak.

"Saya dan bekas tunang sudah lama putus... hubungan kami berakhir pun bukan disebabkan Zul atau mana-mana orang ketiga.

"Zul tiada kena mengena langsung. Saya tak nak libatkan nama orang lain dalam isu saya," katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Kekasih Paksa Rela berharap selepas ini tiada lagi mana-mana pihak yang cuba mengaitkan pelakon lelaki seperti Zul Ariffin dalam isu yang melibatkan dirinya.

"Saya harap selepas ini, tiada lagi mana-mana pihak yang cuba kaitkan nama orang lain. Saya tak kisah dikecam tapi jangan kaitkan orang lain dengan isu saya," katanya lagi.

Nama Zul Ariffin sekali lagi terpalit apabila netizen mendakwa dia menjadi punca Intan berpisah dengan ahli perniagaan.

Namun, Zul menafikan dakwaan itu malah dia tidak tahu menahu mengenai status hubungan Intan dan bekas tunang sehinggalah diberitahu oleh media.

BACA: Tidak Tahu Menahu Pasal Intan Najuwa & Tunang, Zul Ariffin Nafi Jadi Orang Ketiga

Terdahulu, pada Februari 2020, Intan dilaporkan sudah berpisah dengan Razrul.

Bagaimanapun sekitar Jun 2020, status mereka menjadi tanda tanya semula apabila Intan berkongsi foto yang memperlihatkan separuh badan seorang lelaki dipercayai ahli perniagaan tersebut.

Intan kemudian tampil mengakui lelaki dalam foto tersebut adalah Razrul dan memberitahu hubungan mereka masih baik biarpun sudah berpisah.

Intan dan Razrul mengikat tali pertunangan pada 18 Ogos 2018 di Hotel Thistle, Johor Bahru sempena ulang tahun kelahiran aktres itu yang ke-22.