“Saya Tak Setuju” - Ramlah Ram ‘Warning’ Jangan Rosakkan Lagu Raya?
Penyanyi lagenda Ramlah Ram akui tidak beberapa bersetuju dengan kehadiran lagu-lagu raya yang disuntik dengan elemen moden keterlaluan.
Menurut Ramlah, dia juga dia tidak bersetuju jika ada yang menganggap penghasilan muzik hanya untuk tujuan tular semata-mata.
“Karya muzik yang dihasilkan itu biarlah boleh diterima akal.
"Mungkin akan ada yang menganggap ia adalah karya yang bertujuan untuk tular semata-mata.
“Kalau boleh diterima akal, okay.
"Kalau saya secara peribadi, saya tak setuju kalau lagu Aidilfitri nak dimodenkan sangat dan keterlaluan.
"Tapi bergantung selera masing-masing. Macam saya, saya lebih sukakan lagu elemen tradisional yang boleh buat ramai mengimbau kenangan bila dengar," katanya.
Jelasnya, secara jujur dia tidak mahu industri seni diracuni oleh karya dan individu sebegini.
"Contohnya kalau orang yang nak menyanyi, biarlah dia boleh menyanyi dan janganlah semudah itu nak jadi penyanyi.
“Kita yang cintakan muzik tak mahu diracuni dan dirosakkan oleh benda sebegini.
"Bukan lagu Aidilfitri sahaja, bahkan lagu-lagu lain juga. Tapi, siapalah saya nak tegakkan pendapat saya," katanya.
Ramlah Ram berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0, di Bangi Resort Hotel.baru-baru ini.
Sekadar info, Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 ini bakal berlangsung pada 4 Jun depan di Bangi Resort Hotel.
Menariknya konsert ini akan menggabungkan barisan artis legenda seperti Ezad Lazim, Zarul Umbrella, Baggio, Tam Spider, Ibnor Riza, Rahmat Mega dan penyanyi bersuara lantang Ramlah Ram.