Sekilas
- Keith Foo mengakui dia turut geram dengan watak Haris dalam drama Suamiku Anak Mak sehingga sanggup melempang dirinya sendiri.
- Pelakon itu menghadapi cabaran berlakon di lokasi panas di Hulu Langat dan bersyukur mendapat bimbingan pengarah Nur Ain Sharif.
- Keith menegaskan suami perlu seimbangkan tanggungjawab terhadap isteri dan ibu, serta pentingnya keluarga memahami perubahan selepas berkahwin.
Bukan penonton sahaja yang geram dengan Haris dalam drama Suamiku Anak Mak, malah pelakon, Keith Foo yang membawakan watak itu turut berasa demikian.
Ditanya sama ada dia sendiri geram dengan watak lakonannya, Keith berseloroh bahawa dia sanggup melempang dirinya sendiri.
“Saya geram juga sebenarnya! Kalau saya boleh lempang diri saya sendiri, saya lempang kan!” katanya sambil ketawa.
Berkongsi pengalaman di set, Keith berkata, dia berdepan cabaran setiap hari untuk mendalami Haris dan bersyukur mendapat bimbingan pengarah. Nur Ain Sharif.
“Oh, setiap hari. Setiap hari. Satu, sebab watak saya. Tapi syukur ada Kak Ain untuk bimbing saya melalui semua ini.
“Keduanya, lokasi kami. Sebab rumah tu panas, sangat-sangat panas. Membahanglah. Hari-hari kita kena menghadap tu dan lokasi pun jauh.
“Itu salah satu cabaran jugalah, sebab di Hulu Langat kan? Jadi ulang-alik balik rumah, pergi, balik rumah. Tapi tiada rungutan. Pada akhirnya, hasil akhirnya saya harap ia masih boleh jadi lebih baik,” katanya.
Mengulas dilema lelaki yang tersepit antara isteri dan ibu, Keith berpendapat seorang suami perlu mengimbangi tanggungjawab terhadap kedua-duanya.
“Okey, saya rasa sebagai lelaki, kalau kita dah kahwin, kita kena seimbangkan kedua-dua pihak. Tapi daripada pihak orang tua kita pun kena memahami bahawa bila kita dah kahwin, kita kena melangkah ke hadapan.
“Ya, melangkah ke hadapan bukan bermakna kita tinggalkan tanggungjawab kita pada keluarga kita kan? Tapi saya tak terkejut perkara macam ni memang berlaku di luar, dalam realiti,” ujarnya.