Sebagai menghormati kemuliaan bulan Syawal ini,pengacara sensasi, Azwan Ali memohon maaf secara terbuka kepada Azmin kerana banyak berdosa dengan abang kandungnya itu.

“Peminat-peminat ada tanya saya, tak nak berbaik ke dengan Azmin sempena Hari Raya kali ni. Banyak kali juga mereka tanya sampai lah dah raya sekarang.

“Di hari baik bulan baik ni, saya fikir kenapa tidak untuk berbaik dengan dia. Kalau dia baca artikel ini, saya nak cakap; Min (Azmin) selama ni aku banyak buat salah, buat dosa pada kau. Aku minta ampun, minta maaf pada kau Min,” katanya.

Dalam pada itu, Azwan berharap permohonan maaf secara terbuka itu dapat diterima baik, selain keikhlasannya tidak dipertikaikan ramai.

“Hasrat saya ini untuk berbaik dengan Azmin bukan disebabkan politik, tetapi kerana kerelaan saya sendiri.

“Sebab bila saya fikir sampai bila nak berakhirnya macam ni. Walaupun kami berbeza pendapat, tapi adik-beradik kan... ibarat air yang dicincang tak akan putus.

“Hati yang terdetik untuk berbaik-baik ini baru saja hendak bermula, maka berikanlah saya masa. Mohon semua pihak tidak mengecam saya, sebaliknya mendoakan yang baik-baik,” katanya.

Azwan berkata, permohonan maaf yang dilakukan bukan hanya kerana menteri itu adalah abang kandungnya, sebaliknya turut mengenangkan didikan kedua orang tua mereka.

“Saya akui sebelum ini begitu keras hati, tapi orang tak tahu apa yang dilalui antara kami adik-beradik kerana ia hal peribadi dan keluarga. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

"Saya banyak berbuat dosa dengan dia. Sebagai adik, saya yang sepatutnya beralah nak memohon maaf daripadanya,” katanya yang menetap di London sejak Februari lalu.

Sebelum ini, ramai menyedari ketegangan hubungan mereka adik-beradik, susulan beberapa serangan peribadi dibuat Azwan melalui media.

Sumber: mStar Online
Foto: Google Imej