Semalam tular dan kecoh dengan kisah dua keluarga terpaksa melalui kisah tragis apabila tiga bayi kembarnya yang dilahirkan 20 tahun lepas, rupa-rupanya tertukar dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.

Lebih memeritkan, kejadian itu hanya disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, 'kembarnya' Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, telah dewasa dan disahkan September tahun lepas selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.

Menurut Norathirah ujian DNA itu dilakukan menggunakan sampel darah melibatkan dirinya, ibunya Siti Aminah Ismail, 66, Adryana Iwani, Noratirah dan 'bapa' Noratirah, Husin Omar selepas mereka berjumpa dan mahu mencari kepastian.

"Apabila keputusan keluar, kami amat terkejut terutama mama yang terduduk dan menangis setelah mengetahui keputusan ujian DNA ialah 99.99 peratus menunjukkan saya dan Noratirah ialah pasangan kembar, anak kepada Ibeni Yanin Mohd Salleh dan Siti Aminah.

"Adryana Iwani yang sebelum ini didaftarkan sebagai pasangan kembar saya pula ialah anak kandung kepada Husin Omar dan Rahmah Isa (telah meninggal dunia pada 2018) yang sebelum itu telah membesarkan Noratirah," katanya.

BACA Awani: Kembar seiras tertukar, hanya diketahui selepas 20 tahun

Kisah mereka mendapat perhatian ramai warga maya serta netizen yang terkejut dan tidak sangka kisah yang sering ditonton dalam drama dan sinetron benar-benar terjadi.

Rata-rata simpati dengan nasib mereka terutama Adryana yang tidak sempat berjumpa apatah lagi berusa muka dengan ibu kandungnya yang telah pergi beberapa tahun yang lalu.

“Simpati sebab tak sempat kenal ibu kandung dah meninggal,” kata salah seorang netizen.

“Sedih yang part bukan ibu kandung tu,” kata salah seorang warga maya.

“Tak kelakar weyh...tertukar pencil box takpelah,” terkilan salah seorang pengikut laman sosial.

Katanya, walaupun keputusan ujian DNA sudah diketahui, Ayu Haryani berkata keluarganya itu tetap menganggap Adryana Iwani sebahagian daripada sembilan adik-beradiknya dan akan memintanya untuk terus tinggal bersama memandangkan adik-beradik kandungnya yang lain semuanya sudah berkahwin.

"Ibu kandungnya pula sudah tiada manakala ayahnya meninggal dunia selepas dua bulan ujian DNA diketahui," katanya dan menambah mereka sekeluarga telah melantik peguam dan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berkenaan.

Pada masa sama juga Noratirah yang sebelum ini tinggal bersama 'ayahnya' di Kampung Pulau Kundur, Kota Bharu telah berpindah tinggal bersama keluarga kandungnya di Kampung Langgar, Kota Bharu sejak Januari lepas.