Pemuzik berpengalaman dan terkenal, Datuk Ramli MS tekad untuk mencari bakat baru untuk digilap seawal usia 13 tahun dibawah bimbingannya menerusi Panggung Tok Ram.

Ramli MS atau lebih mesra dengan panggilan Tok Ram berkata bakat baru itu akan diasuh dengan pelbagai ilmu bukan sahaja seni, malah mengenai sikap serta disiplin sebagai anak seni.

“Saya nak mencari bakat baru dan akan membina jati diri individu itu menjadi anak seni yang berkaliber.
Dengan pengalaman yang saya ada di dalam industri, saya akan bantu menggilap apa yang ada dalam diri mereka.

“Selain bakat dan teknikal yang boleh diajar, jati diri dan tatasusila juga penting dalam diri seseorang anak seni,” katanya.

Tok Ram ditemui Ketika pelancaran Panggung Tok Ram yang dilancarkan di Ladang Farm Fresh Universiti Putra Malaysia, pada Jumaat lalu.

Bukan kecewa dengan sikap artis kini, tetapi Tok Ram yang sudah mempunyai 47 tahun pengalaman dalam industry seni tanah air memberitahu dia mahu mencipta masa depan yang lebih baik untuk barisan pelapisnya.

“Sekarang, ramai artis main ‘langgar’ saja benda-benda ini (jati diri dan tatasusila). Saya dah lihat perkara ini selama berdekad-dekad dan ia nampaknya mula menjadi sesuatu yang normal.

“Kalau dibandingkan dengan zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee, disiplin mereka lebih padu terutamanya dari segi pengurusan masa. Inisiatif ini adalah untuk masa depan industri kita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tok Ram menegaskan bahawa ini bukanlah program realiti TV yang hanya memakan masa selama 10 minggu, sebaliknya, program berterusan.

“Selari dengan peredaran zaman, Panggung Tok Ram akan diterbitkan dalam pentas kami sendiri berteraskan digital dan bukan untuk siaran televisyen,” katanya lagi.

Panggung Tok Ram ditaja oleh jenama susu terkemuka tanah air, Farm Fresh.

Program Panggung Tok Ram terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 13 hingga 18 tahun dan cara penyertaannya adalah dengan menghantar rakaman video serta maklumat peribadi ke nombor telefon 013 626 8839.

Ramli bersama-sama pihak wakil dari Farm Fresh akan menilai kemampuan peserta dan akan menyalurkan peserta ke cabang seni yang sesuai dengan kemampuan mereka seperti muzik, lakonan atau pengacaraan.

Penyertaan untuk program ini juga adalah secara percuma dan Ramli serta Farm Fresh akan mengumumkan mengenai platform digital manakah yang bakal menjadi platform tayangan dalam sidang media kedua kelak.