Bintang Akademi Fantasia 5, Ebie Kornelis mendedahkan yang telefilem terbaharu arahannya, Sekolah Sampah merupakan sebuah karya yang lain daripada kebiasaan.

Menurut Ebie, selain tidak bersifat klise, Sekolah Sampah juga menampilkan elemen-elemen yang dirasakan dekat dengan penonton dan juga masyarakat.

“Telefilem ini bukan karya biasa yang selalu kita tonton di televisyen. Tidak semua pengkarya berani menonjolkan kebenaran dalam berkarya. Telefilem ini bukan tidak menonjolkan kekayaan, cerita korporat seperti mana yang selalu kita saksikan.

“Hal ini menjadikan karya ini sebagai karya yang jujur. Ia juga merupakan karya yang memanusiakan manusia. Industri kita kekurangan karya-karya sebegini. Tontonlah telefilm ini jika ingin melihat kelainan,” katanya kepada Gempak.

Melanjutkan bicara, Ebie turut berkongsi tentang pengalamannya bekerja dengan pelakon-pelakon dalam telefilem Sekolah Sampah.

“Walaupun masa agak singkat untuk pelakon-pelakon membina chemistry, tapi alhamdulilah, sebagai seorang pengarah, saya bertanggungjawab untuk menutup kekurangan pelakon terutama dalam membuatkan orang percaya bahasa mereka ini benar-benar mempunyai chemistry.

“Tugas pengarah membuatkan orang lupa bahawa pelakon-pelakon ini hanya berjumpa di set penggambaran saja. Bagaimanapun pelakon-pelakon terlibat sangat berdisiplin dan mempunyai keinginan serta misi yang tinggi untuk membuktikan sesuatu kepada masyarakat membuatkan mereka senang memberikan lakonan yang terbaik dalam watak dan perwatakan.

“Syukur Alhamdulilah mereka faham naskah yang ingin diperjuangkan melalui telefilem Sekolah Sampah ini,” katanya lagi.

Dibintangi oleh Aliff Aziz, Bella Astillah dan Pasqueletta Joan Paulus, Sekolah Sampah mengisahkan tentang seorang backpacker, Adam yang ingin mengembara ke seluruh negeri Sabah.

Namun, setelah mengetahui tentang kanak-kanak pengemis yang tidak bersekolah dan tinggal di satu tempat pembuangan sampah, Adam nekad untuk mengorbankan wang pengembaraannya demi membina sebuah sekolah untuk mereka.

Sekolah Sampah boleh disaksikan pada Sabtu ini, 28 Mei pukul 9 malam di Astro Citra, strim di Astro GO atau Ultra Box.