Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri tidak dapat menahan air mata selepas mahkamah memutuskan tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video 'Kelepok Raya', tiga tahun lalu.
Menurut Aliff, perjalanan panjang keluar masuk mahkamah memberi tekanan besar kepada dirinya sehingga merasakan seolah-olah menjadi seorang penjenayah.
Advertisement
“Saya terlalu teruja dan tak sangka selepas tiga tahun naik turun mahkamah akhirnya saya didapati tidak bersalah. Ketika keputusan dibacakan, saya menangis. Selama ini saya rasa macam penjenayah!
"Waktu keluar dari rumah saya rasa akan kalah, akan dihina, akan dikecam, malah orang mungkin gembira melihat kejatuhan saya. Tetapi Allah Maha Berkuasa,” katanya.
Aliff menjelaskan, sepanjang proses perbicaraan, dia sentiasa dihantui rasa takut seandainya disabitkan kesalahan kerana hukuman yang bakal diterima bukanlah sesuatu yang kecil.
“Bila berada di dalam mahkamah, rasa seperti menunggu hukuman gantung. Kalau didapati bersalah, saya boleh didenda ratusan ribu ringgit dan dipenjara setahun.
"Saya benar-benar rasa akan kalah, malu dan aib,” jelasnya.
Tambahnya lagi, keputusan mahkamah itu memberi kelegaan besar selepas bertahun-tahun hidup dalam tekanan dan persepsi negatif masyarakat.
“Alhamdulillah, rasa macam mimpi apabila akhirnya saya bebas. Ia satu magis bagi saya selepas selama ini hidup dalam perasaan bersalah tanpa keputusan yang jelas,” ujarnya.
Aliff Syukri pada Rabu dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan berkaitan muzik video Kelepok Raya yang tular tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan tambahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Aliff didakwa memuat naik kandungan bersifat sumbang melalui aplikasi Instagram miliknya dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Muzik video berdurasi 5 minit 23 saat yang diterbitkan pada 2022 itu mengundang kontroversi apabila menampilkan beberapa penari lelaki dengan aksi yang dikritik ramai sebagai mencemari suasana Aidilfitri.