Anggota kumpulan Heart, Azmi Saat mengumumkan bakal menimang cahaya mata selepas 10 tahun menanti.

Berita gembira itu dikongsi Azmi selepas kumpulan itu dinobatkan sebagai Juara Muzikal Lawak Superstar 2 (MLS2).

“Sebenarnya saya dah tahu sejak dua bulan lalu tapi belum beritahu sesiapa sebab kandungan itu masih terlalu awal.

“Alhamdulillah, kini kandungan isteri saya dah memasuki usia empat bulan. Sebenarnya isteri saya pernah hamil pada tahun kelapan perkahwinan kami.

“Tapi tak sampai dua bulan gugur, tak ada rezeki. Namun saya rasa sangat bersyukur Allah kurniakan kami nikmat sekali lagi untuk rasa tahun ini,” katanya kepada Gempak.

Pada masa yang sama, Azmi juga menceritakan detik cemas sewaktu isterinya dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas.

“Pada malam kami buat latihan (Khamis), tiba-tiba saya mendapat tahu isteri saya dimasukkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas.

“Jadi saya terpaksa bergegas ke hospital kerana urusan kecemasan. Isteri saya memang ada asma jadi dia alami sesak nafas akibat penyakit itu. Alhamdulillah selepas mendapatkan rawatan doktor isteri saya kembali pulih.

“Yang paling menyentuh hati saya adalah apabila Danial dan abang Ezad sanggup tunggu bersama saya, bukan sekejap tetapi dua jam. Pada waktu itulah saya beritahu berita gembira itu pada mereka,” jelasnya.


Pentas final MLS2 menyaksikan kumpulan Heart diumumkan sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 berserta trofi.

Tempat kedua menjadi milik kumpulan U.N.I yang membawa pulang wang tunai RM75,000 sementara kumpulan Viral membawa pulang wang tunai RM50,000 sebagai pemenang tempat ketiga.

Tempat ketiga menjadi milik kumpulan Viral yang memenangi hadiah wang tunai RM50,000

Janggo pula akur di tempat keempat dengan menerima wang tunai RM25,000.

Keempat empat finalis juga turut membawa pulang trofi.

Sementara itu, sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM10,000 didermakan kepada badan kebajikan yang dipilih iaitu Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al Fattah Semenyih.

Kesemua bintang diadili 50% daripada juri tetap, Datuk Awie, Zul Ariffin dan Nur Fazura manakala 50% lagi adalah undian.