Hiburan
Selepas 2 Tahun Rehat, Keith Foo Kembali Aktif Berlakon
Pelakon Keith Foo kembali memacu perjalanan kerjayanya sebagai seorang pelakon selepas berehat selama dua tahun.
Menurut Keith, tahun 2020 menjadi masa yang sesuai untuk dia kembali aktif memandangkan anaknya, Skylar Raymond Foo sudah memasuki usia tiga tahun.
"Lebih dua tahun saya tak aktif kerana mahu melihat sendiri anak membesar. Saya tak ralat kerana saya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa dan dapat melihat anak membesar depan mata.
Advertisement
"Tahun ini, saya sudah kembali aktif. Sebenarnya, saya sudah bermula semenjak awal tahun tetapi apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, semuanya tergendala.
"Kini, apabila penggambaran boleh dijalankan semula, saya kembali berlakon dan saya rasakan ia merupakan masa yang terbaik untuk saya terus 'all-out' bekerja," katanya.
Tambah Keith, kehidupannya juga kini lebih seimbang antara kerjaya dan keluarga.
"Saya rasakan semuanya baik-baik sahaja sekarang. Anak tinggal dengan bekas isteri, jika tak ada penggambaran, saya memang menghabiskan masa dengan anak.
"Semuanya seimbang dan saya gembira dengan apa yang saya lakukan. Setiap hari saya pasti akan bertemu dengan anak dan jika ada waktu senggang, anak akan tidur di rumah saya," katanya lagi.
Keith mendirikan rumah tangga dengan model, Kim Raymond pada November 2015 dan berpisah pada Disember tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan anak perempuan pada 30 Mei 2017.
Must-Watch Video